Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Kedua 1993

Dalam memori

- Advertisement -

CUACA terik perkampungan Rusila menyengat dengan hembusan angin Laut China Selatan menjadi tarikan pesona menarik lebih seratus ribu khalayak yang hadir. Lokasi yang sinonim dengan gerakan Islam negara ini, perkampungan Rusila sempena ijtimak yang diadakan selama dua hari, 30 dan 31 Ogos.

Himpunan raksaksa itu menyaksikan lebih 300 orang tokoh gerakan Islam antarabangsa dari pelbagai belahan dunia telah hadir dan memberikan pengisian serta berkongsi pengalaman masing-masing di medan operasi perjuangan. Antara tokoh besar yang hadir adalah seperti Dr Kamal Helbawy, Dr Azam Tamimi, Sheikh Khalil Ahmad al Hamidi dan Sheikh Yusuf Karaca, manakala Sheikh Mustapha Mashyur dan Sheikh Rashid Turabi dihalang oleh pihak keselamatan untuk masuk ke negara ini.

- Advertisement -

Ijtimak Alami Perpaduan Ummah kali kedua itu merupakan wadah pertemuan tokoh-tokoh gerakan Islam sedunia dan juga medan merapatkan ukhuwwah seluruh ahli-ahli gerakan Islam terutamanya PAS.

PAS baru sahaja memenangi negeri Kelantan pada tahun 1990 dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Almarhum Tan Sri Dato’ Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilantik sebagai Menteri Besar. Aura sosok ulama PAS itu sangat mengesankan, Almarhum turut memberikan ucapan di Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan menjadi tarikan khalayak yang hadir. Almarhum Ustaz Dato’ Fadhil Noor, Presiden PAS, telah merasmikan Ijtimak dan melakukan pemeriksaan perbarisan Unit Amal yang segak berpakaian seragam kelabu. Beberapa kumpulan nasyid juga turut memeriahkan sambutan Ijtimak Alami termasuk daripada Madrasah Islahiah Baling, Kedah.

Pengerusi Ijtimak kali kedua ialah Ustaz Abu Bakar Chik yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat turut memberikan ucapan dengan penuh semangat kepada seluruh tetamu Ijtimak antarabangsa atau Ijtimak Alami. Ijtimak mega itu berlangsung dengan pengisian yang menarik, berselang seli dengan laungan takbir seperti menyepuh api semangat kepada seluruh para amilin gerakan Islam. PAS Terengganu yang turut membantu Dewan Pemuda PAS Pusat menggerakkan jentera program sehingga berjalan lancar selama dua hari yang padat. PAS Terengganu dalam Pilihan Raya 1990 telah memenangi 10 buah kerusi DUN seperti Jerteh, Jabi, Tepoh, Bukit Tunggal, Manir, Bandar, Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Rhu Rendang dan Bukit Payong.

Di luar negara pula, pelbagai gerakan Islam sedang menghadapi tekanan yang hebat; FIS di Algeria telah diharamkan setelah memenangi pilihan raya pusingan pertama kebangsaan pada 21 Disember 1991. Seterusnya, mengheret negara Afrika Utara itu ke dalam konflik berdarah yang akhirnya mengorbankan lebih 200,000 jiwa. Di Indonesia, parti Islam hanya bergerak di atas wadah PPP, manakala gerakan tajnid (kaderisasi dakwah) telah bergerak secara rahsia dan menghadapi tekanan regim ORBA. Negara-negara Asia Barat pula, secara umumnya, gerakan Islam menghadapi penindasan oleh regim-regim yang pro-Amerika seperti yang berlaku di Mesir, Syria, Bahrain, Qatar dan Arab Saudi.

Ikhwan mengambil pendekatan lain dengan berusaha menebarkan pengaruhnya di Eropah yang agak terbuka ruang demokrasinya.

Di rantau sub-continent pula, Jamiat Islami di awal dekad 1990-an terus memperkasakan organisasi mereka. Di Pakistan telah bersemarak sentimen anti India apabila berlaku perobohan terhadap Masjid Babri oleh puak pelampau Hindu VSS.

India dan Pakistan agak tegang dengan isu perebutan Wilayah Kashmir, apatah lagi dengan sejarah lama pemisahan wilayah besar itu pada tahun 1947. Jamiat Islami terus disokongi anak muda apatah lagi dalam dekad 1980-an, mereka aktif membantu mujahidin Afghanistan untuk membebaskan diri daripada cengkaman Soviet.

Program Ijtimak Am Jamiat Islami di Pakistan sering kali menjemput tokoh pimpinan PAS, dengan kehadiran ratusan ribu aktivis Jamiat Islami.

Secara umumnya, euforia kebangkitan Islam telah merencahi latar belakang Ijtimak Alami kali kedua, maka tidak pelik jika anak-anak muda merupakan peserta paling ramai Ijtimak itu. Mereka berkhemah di sepanjang hamparan pantai Rusila dengan pemandangan Pulau Kapas yang indah. Petugas Ijtimak mengawal lalu lintas dan juga memantau keselamatan pantai, manakala sistem siar raya yang baik telah memberikan impak yang berkesan kepada jumlah tetamu ijtimak yang ramai.

Penulis masih dalam tahun ketiga pengajian di kampus Universiti Malaya semasa Ijtimak Perpaduan Ummah Antarabangsa kali kedua berlangsung di Rusila. Hebahan secara besar-besaran tentang ijtimak sangat menguja akal kami anak-anak muda tajnid untuk melihat dari dekat tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa yang dijadualkan akan hadir.

Pelbagai gerai pameran yang disediakan oleh entiti PAS, antaranya gerai khas berkenaan Palestin, PASTI dan juga klinik kesihatan percuma untuk peserta menderma darah. Ijtimak Antarabangsa ini sangat membekas dalam ingatan kami anak-anak muda dekad 1990-an bahawasanya, PAS bukan sahaja parti siasah yang bergulat di pentas demokrasi berpilihan raya tetapi juga sebuah harakah Islam yang berjuang secara syumul, tegak seimbang tiang sendi tarbiah, dakwah dan juga siasah untuk membimbing ummah.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -