
MEMORI itu tetap segar dan terpasak kukuh dalam lipatan kenangan kami anak-anak remaja akhir dekad 1980-an. Negeri Terengganu tetap menyala dengan buncahan semangat serta struktur gerakan tajnid yang terbaik dalam organisasi parti Islam di negara ini. Saat itu, menara gagah Masjid Rusila melantunkan laungan suara yang menggema sehingga beberapa kilometer jauhnya dengan berdesakan manusia bertali arus mengunjungi perkampungan ijtimak di Rusila, Terengganu. Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali pertama pada tahun 1988 menjadi kenangan manis semua pendukung gerakan Islam terutamanya anak-anak muda yang sedang disemangati dengan kebangkitan Islam.
Rusila, dengan hamparan pantai yang bersih, menjadi lokasi perkhemahan yang sangat meriah. Solat berjemaah dilaksanakan dengan saf yang panjang, bermula di mihrab masjid sehinggalah menganjur ke pantai.
Kampung nelayan itu bukan biasa-biasa, kerana di penghujung abad ke-19, pejuang-pejuang Pahang yang terkenal seperti Mat Kilau, Tok Gajah serta rakan-rakan mereka pernah disembunyikan di sini sebelum berlindung di Kampung Paloh oleh Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Idrus. Rusila juga terkait dengan gerakan Sarekat Islam Terengganu yang diinspirasikan oleh SI Indonesia. Imam masjid ini, Tuan Guru Haji Awang Abdul Rahman juga dilantik sebagai Pengerusi Hizbul Muslimin Terengganu pada bulan Mac 1948 sebelum ianya diharamkan oleh kerajaan British.
Ijtimak Alami kali pertama diadakan di perkampungan Rusila telah menoreh sejarah perjuangan Islam di negara ini. Tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa menjadi tetamu PAS yang saat itu datang dari pelbagai negara, di antaranya pimpinan Ikhwanul Muslimin seperti Saiful Islam Hasan al-Banna, Sheikh Mehdi Akif, Sheikh Rashid Turabi (Kashmir) dan lain-lain tokoh gerakan Islam dari sub-continent, Nusantara dan Asia Tengah. Menarik juga apabila dua orang tokoh gerakan Islam dari China dan juga Indonesia, apabila pulang ke negara masing-masing telah dipenjarakan.
Tahun 1988 adalah tahun yang sangat dramatik apabila Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan pertemuan makan malam perpaduan ummah dengan serpihan Umno yang akhirnya dikenali sebagai Semangat 46. Pertemuan itu merintis jalan ke arah tahaluf siyasi PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah. Pada tahun yang sama, satu operasi tangkapan ISA yang dikenali sebagai Operasi Kenari, telah berlaku dengan lebih 30 orang aktivis Pemuda PAS dari Perak dan Kedah telah ditahan tanpa bicara termasuklah Ustaz Sidek Noor.
Ijtimak Alami berlangsung dalam keadaan rejim umat Islam di seluruh dunia sedang menindas gerakan Islam dan tokoh-tokoh mereka. HAMAS ditekan hebat pada tahun tersebut, apabila gerakan perlawanan itu baru sahaja setahun ditubuhkan oleh Sheikh Ahmad Yasin, Muhamad an Najjar, Sheikh Solah Syahadah dan lain-lain para pejuang.
Di Tunisia, parti Islam an-Nahdah yang dipimpini oleh Rashid Ghanousi telah diharamkan oleh rejim Habib Bourgiba sehingga 3,000 orang anggota terasnya mendekam dalam penjara, manakala Ghanousi mendapat suaka politik di Eropah.
Di Algeria pula, anak-anak muda yang mendapat tarbiah Islam telah menubuhkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) pada tahun 1988; antara tokoh-tokoh utama gerakan Islam negara yang digelar Tanah Sejuta Syuhada ini ialah Dr Abasi Madani, Ir Abdul Kader Hachani dan Sheikh Ali Benhaj. FIS dengan pantas menjadi fenomena dengan dukungan kelompok kelas menengah yang mendapat kesedaran Islam dan anak muda. Dua tahun selepas ditubuhkan, mereka telah memenangi 90 peratus kerusi majlis perbandaran di seluruh Algeria.
Ikhwanul Muslimin dalam dekad 1980-an terus menjadi ‘beg pukul’ rejim Mesir yang diketuai oleh Presiden keempat negara itu, Hosni Mubarak. Tangkapan massa pasca pembunuhan Anwar Sadat pada Oktober 1981 masih berbekas pada tahun 1988. Namun, ramai tokoh Ikhwan yang mendapat suaka politik, juga berkhidmat sebagai akademisi di luar Mesir, di antaranya adalah Sheikh Said Ramadhan.
Seumpama menjadi suatu dosa kepada rakyat negara-negara Asia Barat untuk mengganggotai gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, bahkan akan dihukum bunuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara Syria. Malahan negara berkiblatkan sosialisme Arabisme itu telah menumpahkan darah seramai 42,000 orang di Hamah pada tahun 1982. Libya juga di bawah Muammar Ghadafi mengenakan sekatan kepada perkembangan Ikhwan, pemenjaraan adalah lumrah, bahkan di Iraq yang juga bernuansa ideologi Baath, pembunuhan dan penyiksaan seperti mesin darah yang sentiasa mengintai para amilin. Sheikh Abdul Aziz al Badri, ilmuan Ikhwan di Iraq antaranya telah disiksa dengan dipotong lidahnya dalam penjara militer.
Tahun 1988 juga ialah tahun yang sengit dalam medan peperangan Afghanistan yang dijajah oleh rejim komunis Russia semenjak tahun 1979. Pelbagai kelompok mujahidin berjuang di tanah gersang itu termasuk Hizbul Islami, Ittehad Islami, Hizbul Mujahidin dan lain-lain lagi. Isu Afghanistan sangat menggugah nurani umat Islam dalam dekad 1980-an, bahkan gerakan perlawanan di sana mendapat sokongan yang kuat daripada Jamiat Islami Pakistan serta gerakan Islam yang lain. Dalam ijtimak yang pertama kali diadakan pada tahun 1988, kehadiran delegasi dari Afghanistan begitu menguja akal para khalayak dan isu kebangkitan Islam menjadi tema besar umat Islam. Di antara tokoh-tokoh besar yang hadir dari Afghanistan ialah Gulbudin Hekmatiyar, Professor Burhanuddin Rabbani berserta pengiring-pengiring mereka.
Terlalu banyak isu dan tema umat Islam yang dibincangkan dalam Ijtimak Alami kali pertama; pemidato dan ilmuan Islam yang memukau pesona. Berselingan dengan laungan takbir yang penuh semangat daripada ratusan ribu peserta, program mega itu bermatlamat untuk menyimpulkan ukhuwwah dan menghantar isyarat jelas ke dalam nurani yang paling tersembunyi iaitu “kita semua bersaudara”, wajib bahu membahu membentengi Deenullah ini.
Jom kita semua, abnaul harakah, beramai-ramailah ke Ijtimak Antarabangsa kali kelima di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu yang pastinya akan sarat dengan pelbagai acara. Juga wejangan menunjal akal tokoh-tokoh tersohor, serta menjana kesedaran rakyat negara ini untuk mengarus perdanakan politik Islam di tanah leluhur tercinta ini.
Menurut Dr Khalil Abdul Hadi, program mega ini akan berlangsung selama 3 hari, iaitu dari 2 sehingga 4 April 2026 ini dengan pelbagai program berimpak tinggi dengan kehadiran tokoh serta delegasi antarabangsa.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/4/2026











