
KOTA BHARU: Usaha memohon hujan melalui doa dan amalan keagamaan perlu dijadikan keutamaan ketika negeri berdepan cuaca panas dan kering yang berpanjangan ketika ini.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, orang ramai digalakkan memperbanyakkan doa agar diturunkan hujan dalam tempoh terdekat bagi meredakan keadaan cuaca semasa.
“Kerana itu kita sama-sama berdoa memohon pada Allah agar negeri kita ini bebas dari cuaca panas dan kering melampau sebagaimana yang kita alami kini,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengkalan Chepa, di sini.
Menurut beliau, selain berdoa, masyarakat juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar serta memastikan pengambilan air mencukupi bagi menjaga kesihatan.
Tambahnya, keadaan cuaca panas ketika ini turut meningkatkan risiko kebakaran khususnya di kawasan hutan dan persekitaran yang terdedah kepada kekeringan.
“Orang ramai juga perlu sentiasa menjaga keselamatan persekitaran rumah termasuk memastikan tiada aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran,” ujarnya.
Beliau menyatakan, semua pihak perlu meningkatkan kesedaran serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, Ahmad Marzuk turut menyambut baik penganjuran solat sunat istisqa’ oleh Majlis Agama Islam Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan yang melibatkan masyarakat serta institusi pendidikan.
Katanya, berdasarkan ramalan meteorologi, peralihan monsun dijangka berlaku sekitar penghujung Mac hingga awal April yang berpotensi membawa hujan lebat.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Aidilfitri tahun ini turut dimeriahkan dengan penganjuran rumah terbuka secara sederhana yang memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu secara langsung.
“Antara hidangan istimewa yang disediakan termasuk masakan berasaskan rusa, gulai kawah dan sup kawah.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan sekali gus mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











