
KLANG: Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan komitmen serius dalam memperjuangkan keadilan bagi mangsa kes langgar maut disebabkan oleh pemandu mabuk di Klang, Selangor baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Mohd Faizi Che Abu sehubungan itu hadir sebagai pemerhati bagi prosiding kes berkenaan, di Mahkamah Klang, di sini hari ini.
“Kehadiran tersebut, mencerminkan komitmen dalam membela nasib keluarga mangsa yang kehilangan seorang suami dan ayah yang menjadi penyara keluarga.
“Kami berpandangan bahawa undang-undang yang lebih ketat, hukuman yang setimpal, serta pelaksanaan undang-undang yang konsisten amat diperlukan bagi memastikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.
“Di samping mewujudkan rasa gerun dalam kalangan pemandu agar tidak memandang ringan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk,” ujar kenyataan dikeluarkan sayap PAS itu.
Dalam masa sama, Mohd Faizi turut bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak balu mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar.
Kes berkenaan menyaksikan tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz, 33, di Jalan Raya Barat pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah disyaki jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam dirinya pada hari sama.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum ini menyatakan pihaknya bersedia menawarkan khidmat guaman secara sukarela kepada keluarga mangsa bagi memastikan tuntutan keadilan dilaksanakan.
Beliau menegaskan kematian mangsa perlu dibela dan kes membabitkan pemandu mabuk yang meragut nyawa orang tidak berdosa mesti dinoktahkan segera.
Dalam tragedi tersebut, mangsa difahamkan dalam perjalanan membeli keperluan untuk anak dan isterinya ketika kejadian berlaku.
Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Ustaz Idris Ahmad bersama kepimpinan PAS negeri, termasuk Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Mohd Hafez Sabri serta Ketua Pembangkang, Razman Zakaria, turut mengadakan lawatan ziarah ke rumah keluarga mangsa di Batu Kurau.
Ustaz Idris berkata, dalam sekelip mata, isteri mangsa menjadi balu manakala tiga anak yang masih kecil kehilangan ayah selepas kejadian tragis itu.
Menurutnya, mangsa keluar dari rumah untuk membeli keperluan anak sebelum dirempuh kenderaan dipandu pemandu mabuk sehingga tercampak ke atas sebuah kereta dan meninggal dunia.
Katanya, pihaknya turut menyampaikan sumbangan serta berusaha membantu keluarga dengan menghubungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyemak kelayakan caruman.
“Alhamdulillah, maklum balas diterima menunjukkan waris layak memohon pencen penakat bagi meringankan beban keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2026













