Taiwan buka peluang pasaran baharu Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kunjungan julung kali rombongan ejen pelancongan dari Taiwan ke Kelantan disifatkan sebagai langkah awal membuka pasaran baharu industri pelancongan negeri itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa berkaitan pelancongan negeri, Datuk Kamarudin Mohd Noor berkata, majlis makan malam yang dianjurkan turut menghimpunkan pemain industri tempatan termasuk wakil hotel, ejen pelancongan serta pemandu pelancong.

“Ini julung kali kita menerima kunjungan dari Taiwan dan kita harapkan ia menjadi pembuka jalan kepada pasaran pelancongan dari negara itu.

“Kita juga menjemput wakil hotel, ejen pelancongan daripada Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) serta pemandu pelancong bagi mewakili industri pelancongan Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Program FAM Trip Ejen Pelancongan Taiwan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Tourism Malaysia di Taiwan, Naimatul Farah Isa dan Pengarah Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Azwan Ab Rahman.

Menurut Kamarudin, tidak ketinggalan hadir dalam program tersebut ialah wakil hospital di negeri ini yang sedang giat mempromosikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada pasaran luar negara.

Tambahnya, usaha berkenaan dijangka memperluaskan lagi potensi pelancongan termasuk sektor pelancongan kesihatan, bukan sahaja dari Indonesia dan Brunei, malah ke Taiwan.

“Laluan penerbangan Taipei ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Kota Bharu sudah tersedia, dan kita berharap pada masa hadapan akan ada penerbangan terus dari Kota Bharu ke Taiwan.

“Kita juga melihat potensi laluan baharu seperti Kota Bharu ke Jakarta, dan percaya syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia akan mempertimbangkannya jika ada permintaan pasaran,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia yang membawa rombongan tersebut ke Kelantan, sekali gus membantu mempromosikan negeri itu di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata kenaikan harga minyak global memberi kesan besar kepada industri pelancongan dan sektor lain.

“Apabila kos pengangkutan meningkat, semua sektor akan terkesan. Ada pengusaha terpaksa memilih sama ada meneruskan operasi atau menutup perniagaan.

“Jika harga dinaikkan, pengguna pula akan mencari alternatif lain, dan ini tidak membantu perkembangan ekonomi setempat,” katanya.

Menurutnya lagi, perkembangan semasa menunjukkan tiada tanda penurunan harga dalam masa terdekat, sekali gus memerlukan langkah proaktif semua pihak bagi mengurangkan impak terhadap ekonomi dan rakyat. – HARAKAHDAILY 1/4/2026

- Advertisement -