
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah menyifatkan kenaikan harga minyak di negara ini sebagai terlalu ketara dan tidak sekata berbanding Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan ingin menaikkan harga bahan api, ia seharusnya dilaksanakan secara seragam di seluruh negara agar lebih munasabah dan tidak menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, terdapat pandangan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dilihat bermain politik dalam isu tersebut apabila tidak menyentuh kenaikan di Sabah dan Sarawak kerana dikhuatiri menjejaskan sokongan terhadap kerajaan Persekutuan.
“Kerana dibimbangi sokongan terhadap kerajaan PH ditarik oleh orang-orang Sabah dan Sarawak, maka harga diesel di dua negeri itu tidak disentuh,” katanya.
Beliau yang juga Speaker DUN Kelantan berkata, ketika menjadi pembangkang sebelum ini, Perdana Menteri berkenaan lantang berpolitik khususnya dalam isu minyak, namun situasi berbeza apabila kini memegang tampuk pemerintahan.
“Dulu semasa jadi pembangkang, beliau sangat kuat berpolitik dalam soal minyak.
“Tetapi apabila sudah menjadi Perdana Menteri, perkara itu dilihat tidak dapat dikawal,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, di Pengkalan Chepa.
Tambah beliau, kenaikan harga minyak yang berlaku ketika ini juga disifatkan antara yang tertinggi berbanding pentadbiran Perdana Menteri terdahulu.
Malah, menurutnya, situasi semasa turut memperlihatkan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila harga minyak di negara jiran seperti Thailand lebih rendah berbanding Malaysia.
“Ini sesuatu yang pelik kerana sebelum ini tidak pernah berlaku harga minyak di Thailand lebih murah daripada negara kita,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengakui konflik global memberi kesan kepada semua negara, namun menegaskan kadar kenaikan di Malaysia dilihat terlalu tinggi dan membebankan rakyat.
Pada masa sama, katanya, kenaikan harga diesel itu berlaku terlalu cepat ketika konflik masih belum mencecah tempoh sebulan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat meneliti semula mekanisme penetapan harga bahan api agar lebih adil dan tidak menekan kehidupan rakyat. – HARAKAHDAILY 1/4/2026











