
KOTA BHARU: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila 41 daripada 83 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Kamaruzaman Mohamad berkata, peratus kelulusan penuh turut meningkat kepada 97.84 peratus berbanding 97.50 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 bagi sekolah-sekolah YIK di Dewan Utama Kompleks YIK, Tunjong, di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), tiga sekolah terbaik ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah (2.05), diikuti Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (2.65) dan Maahad Sains Tok Guru (2.69).
Beliau menyatakan bahawa seramai 216 calon berjaya memperoleh keputusan antara 9A hingga 12A, manakala 92 daripadanya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran.
Tambahnya, bagi kategori Maahad Kawalan, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah muncul terbaik dengan GPS 2.05, diikuti Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (2.65) dan Maahad Sains Tok Guru (2.69).
Bagi kategori Maahad Pilihan pula, Maahad Muhammadi Pasir Pekan mencatat GPS 3.64, diikuti Maahad Muhammadi Pasir Mas (4.20) dan Maahad Saniah Pasir Puteh (4.22).
Sementara itu, bagi kategori Maahad Kerajaan, Maahad Syamsul Maarif (P) mencatat GPS 4.43, diikuti Maahad Taqaddum Maarif (5.05) dan Maahad Al Sabirin Ayer Lanas (5.35).
Sekolah terbaik kategori SMU (A) Bantuan pula disandang SMU (A) Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung dengan GPS 4.05, diikuti SMU (A) Hamidiah Padang Lepai (5.28).
Manakala bagi kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), SMU (A) Darul Ulum Jedok mencatat GPS 3.54, diikuti SMU (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang (3.79) dan SMU (A) Marziah Jabo (3.85).
Menurut Kamaruzaman lagi, seramai 4,813 pelajar daripada 83 sekolah YIK telah menduduki peperiksaan SPM 2025, berbanding 5,090 calon pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk MAIK dan YAKIN yang terlibat dalam memajukan sistem pendidikan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Wan Roslan Wan Hamat mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
“Kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian cenderahati kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan utama termasuk SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco akan datang, selain meneruskan program Tuisyen Rakyat Sejahtera kepada lebih ramai pelajar pada tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2026











