Kerajaan Madani sudah sampai ke noktah penghujung!

Lagi pendedahan korupsi oleh media antarabangsa Bloomberg

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan sudah sampai ke noktah penghujung di mana agenda reformasi dilaungkan bukan sahaja telah mati, tetapi kini berdepan banyak pendedahan korupsi yang memalukan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menempelak demikian sebagai reaksi kepada laporan terkini Bloomberg yang mendakwa bahawa Anwar mengarahkan supaya hasil siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki tidak didedahkan buat masa ini.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sebelum ini berdepan dakwaan memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat sebagaimana laporan dan pendedahan oleh Bloomberg.

Ekoran jumlah pegangan dalam beberapa saham didakwa terlalu besar dan tidak selaras pekeliling ke atas penjawat awam serta desakan awam, maka kerajaan telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan berkait isu tersebut.

Ia dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dengan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

“Nah, ini kali keberapa Bloomberg siarkan artikel membagkitkan persoalan ketelusan Kerajaan Madani secara terbuka. Tak malukah Kerajaan Madani di bawah pimpinan PMX dihadapkan pendedahan demi pendedahan ini?

“Isu ini jika dibawa ke Parlimen sekalipun, jawapan PMX mudah dijangka, tentunya dengan nada keras dan meyakinkan; “Kita nafi sekeras-kerasnya.. kita sudah minta polis siasat.. polis panggil…”.

“Kemudian Kabinet bersidang, kemudian laporan siap, kemudian bentang di Kabinet. Bertahun-tahun untuk selesaikan satu isu, sehinggalah akhirnya PMX tak jadi saman Bloomberg. Kemudian datang pula artikel lain, begitulah seterusnya sehinggalah abang Jamil ….” ujar Ahmad Fadhli.

Bloomberg mendakwa, kebimbangan Anwar adalah sekiranya laporan pegangan saham tersebut didedahkan, ia akan menjejaskan persepsi terhadap kerajaannya menjelang kemungkinan pilihan raya umum yang boleh berlaku seawal tahun ini.

Menurut laporan didedahkan itu, rancangan Anwar adalah untuk membincangkan semula perkara tersebut dalam Kabinet selepas siasatan terhadap dakwaan penglibatan individu yang digelar sebagai ‘mafia korporat’ selesai.

Pemimpin itu dilaporkan meminta penangguhan tersebut sehingga siasatan berasingan terhadap dakwaan dalam laporan Bloomberg mengenai sekumpulan ahli perniagaan yang bekerjasama dengan agensi anti-rasuah untuk menyingkirkan eksekutif syarikat.

Media antarabangsa itu sebelum ini turut melaporkan bahawa Anwar bersedia melepaskan Azam berundur selepas tempoh perkhidmatannya tamat pada 12 Mei ini, namun Azam telah berkempen untuk dilantik sebagai Senator selepas meninggalkan jawatannya.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan laporan Bloomberg ini lebih berani lagi apabila menyatakan bahawa individu yang disiasat masih berpotensi diberikan laluan ke jawatan lain seperti Senator selepas tamat tempoh perkhidmatan.

“Ini tentunya menghantar mesej yang salah kepada rakyat. Kerajaan wajib jawab, jika ia fitnah lakukan tindakan. Saman dan dakwa Bloomberg! Kenapa takut? Jika benar laporan sudah siap, kenapa tangguhkan?” persoalnya lagi.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli yang juga bekas Menteri Ekonomi sebelum ini mendakwa bahawa siasatan tersebut mendedahkan Azam memiliki saham bernilai RM14 juta (USD 3.5 juta) dalam sembilan buah syarikat.

Sedangkan Pekeliling Kerajaan (2024) berkenaan tatakelakuan pegawai awam menyatakan bahawa mereka boleh membeli saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat tidak melebihi 5 peratus modal berbayar atau nilai RM100,000 (mana lebih rendah).

Susulan pendedahan tersebut yang turut membawa kepada pembongkaran isu ‘mafia korporat’ didakwa membabitkan keterlibatan pegawai-pegawai SPRM dan ketidakyakinan kepada siasatan dilakukan, muncul desakan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Bagaimanapun Kerajaan Anwar seperti reaksi-reaksi sebelum ini berterusan menunjukkan sikap berdolak-dalih hingga mengundang cemuhan dan ketidakpercayaan awam terhadap komitmennya memerangi rasuah. – HARAKAHDAILY 30/3/2026

- Advertisement -
- Advertisement -