Tempias ekonomi semasa global: Peringatan untuk rakyat

Rancang urus perbelanjaan dengan bijak

Rohani (tengah) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kota Bharu DUN Tanjong Mas, Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat diingatkan supaya merancang perbelanjaan dengan bijak susulan tempias ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut, kesannya tetap dirasai khususnya melalui peningkatan harga minyak dan kos sara hidup.

- Advertisement -

Menurut beliau, kenaikan harga minyak bukan sahaja memberi kesan kepada sektor tenaga, malah turut menyebabkan peningkatan harga makanan dan barangan keperluan lain.

“Apabila harga minyak meningkat, ia akan memberi kesan berantai kepada semua sektor termasuk pengangkutan dan bekalan makanan, sekali gus meningkatkan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kota Bharu peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, di sini.

Sehubungan itu beliau menjelaskan, keadaan ekonomi semasa dilihat hampir menyerupai situasi ketika pandemik COVID-19, namun kali ini berpunca daripada tekanan ekonomi global dan bukan krisis kesihatan.

Tambahnya, kenaikan harga barangan dijangka berlaku selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan memberi kesan lebih luas kepada rakyat sekiranya tidak ditangani dengan perancangan kewangan yang teliti.

“Sehubungan itu, orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam berbelanja bagi mengelakkan beban kewangan menjadi lebih parah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penganjuran majlis Aidilfitri berperanan sebagai medium mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga menyatakan, majlis tersebut bukan sekadar platform menjamu selera, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu dan berkenalan selepas sekian lama tidak berjumpa.

“Perantau juga boleh mengambil kesempatan menghadiri majlis ini memandangkan masih dalam tempoh cuti sekolah,” katanya.

Beliau memaklumkan, walaupun anggaran kehadiran sekitar 3,000 orang, jumlah sebenar pengunjung adalah melebihi jangkaan dengan kehadiran bermula seawal jam 11 pagi hingga 2 petang dan berlanjutan sehingga jam 3 petang.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anak perantau Kelantan yang masih belum kembali ke destinasi masing-masing agar sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Aliran trafik keluar dari Kelantan dijangka kembali normal, namun aspek keselamatan perlu terus diutamakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. –HARAKAHDAILY 27/3/2026

- Advertisement -