
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak agar siasatan segera, telus dan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap pendedahan seorang ahli perniagaan.
Timbalan Ketua DPPM, Mohd Hafez Sabri berkata demikian merujuk kepada pendedahan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Victor Chin atau nama sebenarnya Chin Boon Loong.
Menurut beliau, Victor Chin mendakwa terdapat seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran sebanyak RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat.
“(Siasatan tersebut perlu dibuat) supaya kebenaran dapat ditegakkan dan mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan rasuah mafia korporat ini dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi,” ujar beliau dalam kenyataan.
Menurut beliau, dakwaan itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan wakil rakyat daripada kerajaan yang selama ini lantang melaungkan agenda reformasi.
“(Wakli rakyat tersebut turut) menolak sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam pentadbiran negara.
“Lebih meresahkan, dakwaan tersebut turut menyebut bahawa wang berkenaan bertujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.
“(Ia) sekali gus mencetuskan persoalan besar terhadap integriti dan ketelusan pentadbiran,” kesal beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, pemimpin PKR, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan menafikan beliau adalah ‘Mr R’ yang didakwa menerima RM9.5 juta dan menegaskan tidak mengenali Victor Chin.
Beliau menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal serta mendakwa individu berkenaan terlibat dalam pelbagai salah laku termasuk manipulasi pasaran dan penipuan.
Ramanan berkata, beliau tampil menjelaskan isu itu bagi mengelakkan kekeliruan terhadap parti, manakala sebelum ini bekas pemimpin PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli turut membuat penafian berkaitan dakwaan sama.
Ia adalah susulan Victor mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal mafia korporat, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan. – HARAKAHDAILY 27/3/2026











