
ORANG Melayu berpegang teguh dengan mazhab fiqh Imam Syafie (رحمهم الله) dan manhaj akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah aliran Asya’irah.
Imam Syafie dikenali sebagai seorang yang kuat kasihnya terhadap Ahlibait Rasulillah SAW.
Bahkan dari sudut nasab keturunan, Imam Syafie bertemu dengan Rasulullah SAW pada Abdul Manaf …
Nasab Baginda Nabi SAW, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muththalib (Syaibah) bin Hasyim (Amru) bin Abdul Manaf (al-Mughirah) bin Qushay bin Kilab.
Manakala nasab Imam Syafie pula, Muhammad bin Idris bin Al-‘Abbas bin ‘Utsman bin Syafi’ bin As-Sa’ib bin ‘Ubaid bin ‘Abdu Yazid bin Hasyim bin Al-Muththalib bin ‘Abdul Manaf bin Qushay bin Kilab.
Ada sabda Rasulullah SAW yang menunjukkan keutamaan Bani Muththalib, iaitu moyang Imam Syafie:
مَشيتُ أَنا وعُثْمانُ بنُ عَفّانَ إلى رَسولِ اللَّهِ صلى الله عليه و آله و سلم، فَقُلْنا: يا رَسولَ اللَّهِ أَعْطَيْتَ بَنِي المُطَّلِبِ وتَرَكْتَنا، ونَحْنُ وهُمْ مِنْكَ بمَنْزِلَةٍ واحِدَةٍ؟ فَقالَ رَسولُ اللَّهِ صلى الله عليه و آله و سلم: إنَّما بَنُو المُطَّلِبِ، وبَنُو هاشِمٍ شيءٌ واحِدٌ.
“Aku berjalan bersama Uthman Bin ʿAffan menuju ke Rasulullah SAW lantas kami berkata: Wahai Rasulullah, engkau berikan kepada kaum kerabat Mutthalib (1/5 harta rampasan perang Khaibar) sedangkan kami tidak dapat apa-apa pun! Bukankah kedudukan kami sama seperti mereka? Rasulullah SAW menjawab: Sebenarnya kerabat Bani Muṭṭalib dan kerabat Bani Hāshim adalah setaraf.” (Riwayat al-Bukhari (3502))
Hadis ini menjadi isyarat bahawa kaum kerabat selain daripada Bani Muṭṭalib dan Bani Hāshim, mereka bukanlah daripada kategori Ahlulbait.
Ada syair yang dinisbahkan kepada Imam Syafie:
إن كان رفضا حب آل محمد
فليشهد الثقلان أني رافضي
Sekiranya ‘ar-rafdh’ (gelaran negatif terhadap Syiah) itu merupakan kasih terhadap kerabat Muhammad. Maka bersaksilah sekalian jin dan manusia bahawa aku ini seorang rafidhi!
Antara isu yang berlarutan antara umat Islam ialah, polemik ar-rafdh (الرفض) dan an-nashb (النصب).
Ia sebenarnya termasuk dalam isu jarh wa ta’dil dalam disiplin ilmu hadis:
قال الذهبي في ميزان الإعتدال(1\118):
«لقائِلٍ أن يقول: كيف ساغ توثيق مبتدع، وَ حَدُّ الثقةِ العدالةُ والإتقان. فكيف يكون عَدلاً من هو صاحب بدعة؟
وجوابه أن البدعة على ضربين: فبدعة صُغرى كغلو التشيع، أو كالتشيع بلا غلو ولا تحرّف.
فهذا كثيرٌ في التابعين وتابعيهم، مع الدِّين والورَعِ والصِّدق.
فلو رُدَّ حديثُ هؤلاء، لذهب جملةً من الآثار النبوية. وهذه مفسدةٌ بيِّنة.
ثم بدعةٌ كبرى كالرفض الكامل، والغلوّ فيه، والحطّ على أبي بكر وعمر –رضي الله عنهما–، والدعاء إلى ذلك.
فهذا النوع لا يُحتجّ بهم ولا كرامة.
“Al-Dhahabi berkata dalam kitab Mizan al-I’tidal (1181):
“Orang mungkin bertanya: Bagaimanakah seorang mubtadi’ boleh di ‘tauthiq’ (dikatakan thiqah untuk diterima hadisnya), sedangkan definisi thiqah itu adalah ‘adalah (tak buat dosa besar dan tak kekal melakukan dosa kecil) dan ketelitian?
“Bagaimanakah seseorang pelaku bid’ah boleh dianggap adil?
“Jawapannya ialah bid’ah ada dua jenis:
“Bid’ah kecil, seperti ‘tasyayyu’ (menjadi Syiah) yang berlebihan, atau Syiah tanpa keterlaluan atau penyelewengan.
“(Tasyayyu’) Ini banyak berlaku dalam kalangan Tabi’in dan tabi’ tabi’in, bersama dengan agama, ketakwaan, kebenaran (maksudnya para Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in ini walaupun mereka ada tasyayyu’ namun mereka masih ada agama, ketakwaan dan sifat benar dalam diri mereka).
“Jika hadis-hadis mereka ini ditolak, maka hilanglah sejumlah hadis Nabi, dan ini menjadi satu kerosakan yang nyata.
“Kemudian terdapat bid’ah besar, seperti ‘ar-rafdh’ yang sepenuhnya, dan ghuluw dengannya, penghinaan terhadap Abu Bakar dan Umar (رضي الله عنهما), dan menyeru kepada ini.
“Jenis ini tidak boleh dijadikan hujah, dan juga tidak layak dihormati (Intaha).”
Terdapat ulama yang mengkritik pandangan longgar yang mengkelaskan tasyayyu’ itu sebagai satu bid’ah, kerana konsep asal tasyayyu’ adalah ‘hubb’ (kasih) kepada Ālu (kerabat) Nabi Muhammad SAW, dan hubb Àlu Nabi SAW itu merupakan sunnah, bahkan kewajipan seorang yang mengaku sebagai Muslim.
Bahkan dalam al-Quran sendiri, kalimah ‘Syiah’ membawa konotasi yang positif:
{ ۞ وَإِنَّ مِن شِیعَتِهِۦ لَإِبۡرَ ٰهِیمَ }
“Dan sesungguhnya di antara “syiahnya” (orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh) ialah Nabi Ibrahim.” [Surah Aṣ-Ṣāffāt: 83]
Begitu juga konsep ‘ar-Rafdh’ pula diletakkan definisi yang bercanggah sehingga menerbitkan hukum yang berbeza berdasarkan kaedah:
الحكم على شيء فرع عن تصوره.
Pada pandangan kebanyakan ulama Ahli Sunnah, konsep ‘ar-Rafdh’ itu merujuk kepada ghuluw dalam tasyayyu’ sehingga membawa kepada menghina asy-Syaikhan (Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar رضي الله عنهما).
Pandangan ini dibawa oleh kebanyakan ulama yang dipengaruhi oleh pandangan madrasah ‘Syam’ yang terkesan dengan doktrin ‘an-Nashb’ (Membenci Ahlilbait).
Perlu dinyatakan bahawa Syam merupakan kubu kuat Bani Umayyah yang mendoktrinkan fahaman ‘an-nashb’ dan ‘al-jabr’ demi menguatkan rejim kekuasaan mereka.
Aliran Syeikh Ibn Taimiyyah dan yang terpengaruh dengan aliran ini, termasuklah Imam adz-Dzahabi (رحمهم الله), merupakan produk madrasah ahli Syam yang ada ‘inhiraf’ (terseleweng) daripada madrasah Ahlilbait.
Berbalik kepada definisi ‘ar-Rafdh’, kalimah ini muncul apabila tentera yang mulanya berbaiah untuk berjihad bersama Imam Zaid bin Ali bin Husain bin Ali bin Abi Thalib رضي الله عنهم berpaling tadah, sehingga Imam Zaid menggelarkan mereka sebagai Rafidhah bermaksud kumpulan yang ‘reject’ ataupun ‘menolak’ (رفضتموني فأنتم رافضة) dalam satu peristiwa yang tidak dapat diperincikan di sini.
Sejak daripada itu, Syiah (pengikut) Ahlilbait terpecah dua:
Satu kumpulan mengikut pendekatan jihad atau jalan radikal yang digerakkan oleh Imam Zaid bin Ali, yang digelar sebagai Zaidiyyah.
Satu kumpulan lagi mengambil pendekatan pasifisme yang didakwa ia menjadi jalan Imam Muhammad al-Baqir bin Ali, iaitu abang kepada Imam Zaid رضي الله عنهم.
Bagaimana pula dengan Ahlu Sunnah wal Jamaah?
Sunnah di sini merujuk kepada sunnah Rasulullah SAW.
Jama’ah pula merujuk kepada jama’ah umat Islam.
Sebab itulah para Imam Ahli Sunnah, mereka berpegang dengan athar Rasulillah SAW dan mengambil athar tersebut daripada semua perawi yang thiqah, tidak kiralah sama ada dia seorang Syiah, Rafidhah, Nashibah, Jabariyyah, Qadariyyah, Haruriyyah (Khawarij), asalkan dia bukan seorang pendusta.
Boleh rujuk kitab-kitab jarh wa ta’dil untuk melihat penilaian para Ahli Hadis daripada kalangan Ahli Sunnah terhadap perawi-perawi hadis, kita akan mendapati sejumlah perawi yang dinisbahkan kepada mereka tasyayyu’, ar-rafdh, an-nashb, al-irja’, al-qadar, at-tajahhum dan pelbagai ideologi yang membentuk firaq (pecahan kumpulan) umat Islam.
Penilaian jarh wa ta’dil pula bersifat ijtihadi, berbeza mengikut individu yang membuat penilaian berdasarkan kecenderungannya, sehingga Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam kitab at-Tahdzib at-Tahdzib:
وقد كنتُ أستشكلُ توثيقَهم الناصبي غالباً، وتوهينهم الشيعة مطلقاً
“Saya pernah merasa musykil terhadap tauthiq (menilai thiqah, boleh percaya) mereka (sebilangan ulama jarh wa ta’dil) secara ghalib terhadap seorang Nashibi (pembenci Ahlilbait) dan ‘tauhin’ (menilai lemah) terhadap Syiah secara mutlak.”
Khilaf antara umat ini terkadang melanggar garis merah, sekalipun dalam isu epistemologi, sehingga membawa kepada takfir semasa sendiri.
Antara jasa Imam Abul Hasan al-Asy’ari رحمه الله adalah dengan menyatukan semua firaq dalam kumpulan Islam dan orang bersolat menghadap satu kiblat, menerusi kitabnya ‘Maqalat Islamiyyin wa ikhtilaf al-Mushollin’.
Ahlulbait keturunan Imam Ali al-‘Uraidhi bin Ja’far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir, membentuk jalur yang dinamakan sebaga Ba ‘Alawi, menisbahkan diri mereka kepada madrasah Ahli Sunnah Wal Jama’ah manhaj Asyi’rah.
Boleh dirujuk karangan Habib Abdullah al-Haddad yang terutamanya Risalah al-Mu’awanah wal Muazarah.
Berbalik kepada pendirian ulama Ahlu Sunnah antara konflik politik antara golongan Syiah Zaidiyyah, Rawafidh, Nawashib dan lain-lain, tidak dinafikan sebahagian Ahli Sunnah terkesan dengan doktrin an-Nashb, sehingga seorang alim Ba ‘Alawi bernama Sayyid Muhammad bin ‘Aqil menulis kitab ‘al-‘Atbu al-Jamil’ bagi mengkritik sebahagian ulama jarh wa ta’dil yang terikut dengan sentimen an-nashb.
Namun tidak sedikit ulama Ahli Sunnah yang menyebelahi Ahlilbait, sekalipun mereka tidak ‘declare’ diri mereka sebagai Syiah.
Antaranya ialah Imam mazhab Hanafi Abu Hanifah an-Nu’man, beliau dianggap sebagai penyokong secara moral dan material kepada gerakan Imam Zaid bin Ali di zaman Umawi, dan gerakan Imam Nafs Radiyyah Imam Ibrahim bin Abdullah di zaman Abbasi.
Imam Malik bin Anas pula secara simbolik mengeluarkan fatwa menyokong Imam Nafs Zakiyyah Muhammad bin Abdullah dalam pertembungan dengan Abu Ja’far al-Manshur, yang pada ketika itu berlaku krisis antara Bani Ali dan Bani Abbas dalam merebut tahta khilafah selepas kejatuhan rejim Bani Umayyah.
Akibat daripada kecenderungan kedua-dua imam ini kepada Ahlilbait daripada keturunan Saidina Ali bin Abi Thalib, mereka menerima padahnya daripada rejim berkuasa.
Imam Syafie juga dikatakan memberi baiah kepada Imam Yahya bin Abdullah bin Hasan ketika berada di Yaman, akibatnya beliau ditangkap, dibelenggu dan diheret menghadap Khalifah Harun ar-Rasyid di Baghdad.
Jika tidak disebabkan oleh kebijaksanaan Imam Syafie dan ‘syafaat’ daripada anak murid Imam Abu Hanifah, maka Imam Syafie akan menjadi mangsa kekejaman yang dilakukan terhadap rejim berkuasa terhadap Ahlilbait Rasulillah SAW dan ‘Syiah’, pengikut mereka.
Dalam syarah Musnad Imam Zaid berjudul Raud an-Nadhir, Imam Syafie digelar sebagai ‘syi’i Āli Muhammad’ (pengikut kerabat Muhammad).
Mengenai Iran pula, dahulunya ia sebuah wilayah yang majoriti penduduknya bermazhab Ahli Sunnah. Majoriti ulamak hadis, Imam Haramin guru Imam Ghazali, bahkan Imam Ghazali sendiri berasal dari wilayah Parsi ini.
Iran beralih arah menjadi Syiah aliran Ithna ‘Asyariyyah di zaman pemerintahan Shafawiyyah, yang ketika itu bersaing dengan Uthmaniyyah bagi membentuk empayar kuasa dunia yang kuat.
Sejak daripada itu wajah Iran yang Sunni bertukar menjadi Syiah.
Adakah dikotomi Sunni-Syiah masih relevan di zaman ini?
Jawapannya bergantung kepada diri sendiri.
Sekiranya kita rasa berguna dan berfaedah untuk memanjangkan polemik yang tak berkesudahan sejak ribuan tahun, maka teruskanlah bermain dan bergelumang dengan konflik ini.
Namun sekiranya kita menganggap polemik ini sudah terlalu berlarutan dan perlu kepada titik noktah demi sebuah penyelesaian, atau sekurang-kurangnya ditangguhkan dahulu siaran drama sinetron berjela-jela tentang krisis Sunni-Syiah demi memberi laluan kepada siaran yang lebih utama, krisis Islam-Sekularisme, krisis Palestin-Rejim, krisis akhir zaman berdasarkan kepada ilmu fiqh tahawwulat, ilmu ‘alamat as-Sa’ah atau eskatologi, maka seharusnya kita tahu apa yang lebih aula dilakukan.
MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 26/3/2026











