Mujahid atau pengkhianat?

Garis pemisah yang memalukan dunia Arab

- Advertisement -

DALAM sejarah perjuangan Islam, sentiasa ada garis pemisah yang jelas antara pejuang sebenar dan mereka yang memilih jalan kompromi.

Pendedahan kisah tawaran terhadap pemimpin HAMAS, Yahya Sinwar, menjadi bukti nyata perbezaan tersebut.

Dilaporkan bahawa sekitar tahun 2017 hingga 2018, beliau ditawarkan pakej bernilai USD10 bilion oleh Amerika Syarikat dan Jerman dengan beberapa syarat utama, Gaza dijadikan sebuah negara merdeka seperti negara Teluk, beliau dilantik sebagai presiden, dan HAMAS perlu melucutkan senjata roketnya.

- Advertisement -

Namun, tawaran itu ditolak mentah-mentah.

Petunjuk Nabi SAW

Penolakan ini bukan sekadar keputusan politik, tetapi cerminan prinsip. Ia mengingatkan kita kepada sikap Rasulullah SAW ketika ditawarkan harta, kuasa dan kedudukan oleh pembesar Quraisy.

Dalam riwayat sirah, Utbah bin Rabi’ah datang menawarkan pelbagai habuan kepada Baginda SAW:

“Sekiranya engkau mahukan harta, kami akan kumpulkan sehingga engkau menjadi paling kaya. Jika engkau mahukan kemuliaan, kami angkat engkau sebagai ketua. Jika engkau mahu menjadi raja, kami akan lantik engkau.”

Namun Rasulullah SAW menolak semuanya, lalu membaca beberapa ayat dari Surah Fussilat:

حم (1) تَنزِيلٌ مِّنَ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ (2) كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (3) بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ (4) وَقَالُوا قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ مِّمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ وَفِي آذَانِنَا وَقْرٌ وَمِن بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ فَاعْمَلْ إِنَّنَا عَامِلُونَ

Di sinilah letaknya ukuran sebenar perjuangan. Sinwar menolak ‘negara’ yang bersifat kosmetik jika harganya adalah maruah, kedaulatan dan perjuangan Palestin.

Sedangkan sebahagian negara Arab memilih jalan sebaliknya, menerima perlindungan kuasa besar sehingga menjadi pangkalan strategik Ahzab Moden.

Deal Of The Century dan projek Palestin baharu

Penolakan Sinwar tidak boleh dipisahkan daripada konteks lebih besar iaitu agenda yang dikenali sebagai ‘Deal of the Century’ yang dipelopori oleh Donald Trump.

Pelan ini bertujuan merombak peta politik Palestin dengan menormalisasikan penjajahan Israel dan menamatkan tuntutan sebenar rakyat Palestin.

Dalam kerangka ini, muncul idea ‘Palestin Baharu’ (New Palestine), A Spatial Vision for Palestine dan pelan ‘Pembangunan Semula Gaza’ (Rebuilding Gaza) yang pada hakikatnya meminggirkan hak asal rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.

Ia bukan penyelesaian, tetapi penyerahan secara halus yang dibungkus dengan tawaran ekonomi dan pembangunan.

Peranan UAE menjadi signifikan dalam menjayakan agenda ini melalui pendekatan kuasa lunak. Normalisasi hubungan dengan Israel melalui Perjanjian Abraham membuka jalan kepada penerimaan politik yang sebelum ini ditolak oleh umat Islam.

Lebih membimbangkan, hubungan strategik antara negara Teluk dan Israel telah lama terbina, termasuk kerjasama perisikan dan keselamatan.

Kebimbangan terhadap Iran dijadikan alasan untuk membentuk pakatan baharu, sehingga isu Palestin semakin dipinggirkan!

Kemunculan Muslim Zionis

Dalam suasana ini, muncul satu fenomena yang membimbangkan, iaitu naratif ‘Muslim Zionis’.

Ia bukan sekadar label, tetapi satu pola pemikiran yang mengabsahkan tindakan penjajah dan mengalihkan fokus umat daripada isu sebenar.

Musuh utama bukan lagi dilihat sebagai penjajahan Israel, tetapi dialihkan kepada konflik dalaman seperti anti-Iran atau polemik mazhab.

Ini selari dengan analisis beberapa badan pemikir antarabangsa yang melihat penjajaran strategik tertentu lebih mengutamakan kepentingan geopolitik berbanding keadilan Palestin.

Naratif ini turut disalut dengan istilah lunak seperti ‘keamanan’, ‘dialog antara agama’ dan ‘Abrahamic Family House’.

Namun tanpa keadilan, semua ini hanyalah kosmetik politik yang menutup realiti penindasan.

Walaupun majoriti rakyat dunia Arab masih menolak normalisasi dengan Israel, namun suara mereka sering tenggelam oleh elit politik yang didorong kepentingan strategik dan ekonomi.

Bezanya mujahid dan kompromis

Perbezaan antara pejuang seperti Yahya Sinwar dengan sebahagian pemimpin Arab hari ini amat jelas.

Satu memilih jalan sukar demi prinsip, satu lagi memilih jalan mudah demi kelangsungan kuasa.

Ada yang menjadikan mazhab sebagai alasan untuk tidak bersolidariti, sedangkan musuh sebenar terus menjarah bumi Palestin.

Ada yang bercakap mengenai kestabilan, tetapi dalam masa yang sama mengiktiraf penjajahan.

Sejarah telah menunjukkan bahawa kejatuhan umat bukan kerana kekurangan sumber, tetapi kerana hilangnya keutamaan dan keberanian.

Ketika pasukan Axis of Resistance mempertaruhkan nyawa, sebahagian yang lain masih tenggelam dalam polemik yang tidak membawa kepada pembebasan al-Quds.

Membaca geopolitik dengan iman

Kisah Yahya Sinwar adalah cerminan bahawa perjuangan tidak boleh dibeli. Ia juga menjadi tamparan kepada mereka yang masih mencari justifikasi untuk berdiam diri atau berkompromi dengan kezaliman.

Umat Islam perlu kembali menilai keutamaan. Dalam keadaan Palestin terus dijajah, persoalan utama bukan siapa yang paling benar dalam polemik dalaman, tetapi siapa yang benar-benar berdiri menentang kezaliman.

Keamanan tanpa keadilan hanyalah penyerahan. Dan sejarah tidak pernah berpihak kepada mereka yang menjual prinsip demi keselesaan sementara. Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 113:

وَلَا تَرْكَنُوٓا۟ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 25/3/2026

Bacaan Tambahan

[1] Syahid ‘ala Asri Yahya Sinwar: Kenapa Sinwar menolak didirikan kerajaan di Gaza? (Wawancara penuh Bahasa Arab)
https://youtu.be/P1EJq7AkzL8?si=r5YX-WSgF5S1_V5V
[2] A Spatial Vision for Palestine: A Long-Term Plan That Can Begin Now
https://www.rand.org/pubs/research_reports/RRA3444-1.html
[3] Rebuilding Gaza—from Camps to Communities
https://www.rand.org/pubs/commentary/2025/10/rebuilding-gaza-from-camps-to-communities.html
[4] Blair’s Project for a New Palestine
https://www.rand.org/pubs/commentary/2007/07/blairs-project-for-a-new-palestine.html
[5] Seperti apa peta ‘Timur Tengah baru’ yang diusulkan Israel?
https://www.bbc.com/indonesia/articles/c2dp7y08g1yo.amp

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -