‘Janji tindakan tegas kerajaan terhadap vape masih kabur’

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mendesak kerajaan agar segera menunaikan janji untuk mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape yang dilihat semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, rakyat masih mengingati komitmen yang pernah dinyatakan oleh pihak menteri sebelum ini untuk bertindak tegas terhadap isu vape, namun sehingga kini tindakan konkrit masih belum dilihat.

- Advertisement -

Beliau berkata, sudah genap tiga bulan daripada tarikh yang dijanjikan, tetapi perkembangan mengenai langkah tegas bagi menangani masalah tersebut masih belum jelas.

“Statistik menunjukkan peningkatan kes penyakit berkaitan EVALI (‘E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury‘) iaitu kecederaan paru-paru akibat penggunaan vape di Malaysia, dengan kos rawatan boleh mencecah sehingga RM150,000 bagi setiap pesakit.

“Keadaan ini sangat membimbangkan kerana ia bumencubakan sahaja memberi kesan kepada kesihatan pengguna, malah turut membebankan sistem kesihatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan tidak seharusnya bersikap pilih kasih dalam menangani isu kesihatan awam yang memberi kesan besar kepada rakyat.

Terdahulu, penggunaan rokok elektronik atau vape dilaporkan meningkat secara mendadak, terutama dalam kalangan remaja dan golongan muda.

Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan lebih 20 peratus remaja berumur 13 hingga 19 tahun pernah vape, manakala penggunaan harian menunjukkan trend meningkat setiap tahun.

EVALI menjadi ancaman utama kesihatan awam, di mana bahan kimia dalam cecair vape boleh merosakkan paru-paru dan menimbulkan kos rawatan tinggi.

Walaupun pelbagai langkah kawalan telah diumumkan, tindakan konkrit masih kurang jelas, mengakibatkan kebimbangan rakyat. – HARAKAHDAILY 16/3/2026

- Advertisement -