Siapa penentu URA?

- Advertisement -

SIAPA yang masih ingat kepada URA? Urban Renewal Act atau Akta Pembaharuan Semula Bandar. Dulu ada ceramah, forum, dialog dan roadshow, hari ini semua itu hanya dalam lipatan sejarah. Kita disibukkan dengan isu-isu lain walhal URA akan mengubah lanskap politik negara kita 360 darjah. Pada hakikatnya kita telah ‘move on‘ melupakan URA.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun kerajaan masih belum membatalkan hasrat untuk memperkenalkan akta tetapi hanya sekadar menangguhkan. Ia bagai pedang yang digantung di atas kepala kita. Tali boleh putus bila-bila masa dan pedang itu akan jatuh membelah dua kepala kita. Begitu juga dengan URA. Ia bagai harimau cedera yang bersembunyi menunggu mangsa dan akan menerkam pada bila-bila masa.

Pakatan Harapan (PH) memang bijak. Mereka tahu di mana mereka boleh mendapat sokongan agar URA dilihat sebagai diterima rakyat. Penduduk rumah pangsa kos rendah telah dibawa ke Parlimen untuk menyokong URA. Sudah tentu bukan itu sahaja yang mereka lakukan. Mereka kerajaan, mereka ada data yang lengkap, mereka ada peruntukan dan mereka tidak akan berdiam diri.

Seorang peguam yang aktif di kawasan rumah pangsa kos rendah telah mengadu kesukaran untuk mendapat sokongan penduduk turun ke program-program bantahan URA. Pada saya tidak menghairankan. Bagi mereka yang tinggal di rumah pangsa kos rendah yang sempit dan kotor dengan lif yang selalu rosak atau bumbung yang bocor, janji mendapat kediaman bagaikan kondominium mewah lebih penting dari retorika “Melayu hilang kuasa”.

Walaupun kerajaan hari ini banyak memungkiri janji dan terdapat penyelesaian alternatif namun apabila mereka kerap didampingi dengan pelbagai program dan peruntukan, terang dan jelas siapa yang akan menawan hati mereka. Mereka sentiasa mengharap dan tidak akan mudah lupa. Penduduk flat kos rendah yang saya baiki lif atau mengecat kediaman mereka 10 tahun yang lepas ketika saya Exco Perumahan Negeri Selangor, masih mengucapkan terima kasih kepada saya.

Saya tidak menyalahkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana saya memahami kebanyakan wakil-wakil rakyat mereka adalah dari Pantai Timur dan Utara di mana tidak banyak flat kos rendah yang bermasalah. Sudah tentu bukan ramai yang memahami. Ia bukan salah mereka. Tetapi hati-hati penduduk rumah kos rendah ini mesti dimenangi jika mahu gerakan membantah URA berjaya.

NGO saya kerap menganjurkan program untuk pelajar-pelajar di flat kos rendah dan memang susah untuk mendapat sumbangan untuk membiayai program-program kami. Masyarakat kita sama ada NGO atau individu lebih mudah menghulurkan sumbangan ke Syria atau Palestin dari kepada golongan termiskin di dalam masyarakat kita. Akhirnya kami sentiasa menanggung defisit dan menyebabkan keupayaan kami terhad. Kelompongan yang ditinggalkan oleh NGO-NGO seperti kami diisi oleh pihak lain yang memiliki agenda tersendiri. Walaupun saya bukan Nujum Pak Belalang, saya nampak di mana semua ini akan berakhir.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bekas Exco Perumahan Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 14/3/2026

- Advertisement -