Krisis global perlu pelan komprehensif, bukan retorik

Kenaikan harga minyak ancam negara

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengikuti dengan rapat perkembangan ekonomi semasa, khususnya melibatkan kenaikan harga minyak RON 97 yang melonjak ke paras RM3.85 dan diesel di Semenanjung Malaysia yang kini mencecah RM3.92 seliter. Lonjakan ini memberi tekanan yang amat dahsyat terhadap kos sara hidup rakyat secara keseluruhan.

- Advertisement -

Kenaikan harga bahan api secara mendadak ini adalah isyarat kecemasan ekonomi yang tidak boleh dipandang remeh. Ia bakal mencetuskan kesan domino terhadap harga barangan dan perkhidmatan, yang akhirnya menghimpit kebajikan rakyat marhaen yang sedang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi dan inflasi yang tidak menentu.

DUPP melahirkan kebimbangan mendalam terhadap ketegangan konflik di Timur Tengah yang sedang berlaku, yang menjadi faktor utama ketidaktentuan harga minyak global. Sebagai negara yang terdedah kepada risiko inflasi import, Kerajaan di bawah pimpinan PMX tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Kerajaan wajib mempunyai unjuran risiko yang jelas bagi mendepani impak krisis ini terhadap pasaran domestik.

Kerajaan perlu melakukan lebih daripada sekadar membuat ‘pengumuman besar’  pada 11 Mac 2026 yang dicanang seolah-olah membawa solusi, namun hakikatnya hanya bersifat pengumuman status quo. Pengumuman tersebut dilihat hanya bertaraf ‘laporan berita’ yang memaklumkan perkara yang sudah sedia maklum tanpa sebarang insentif fiskal yang kukuh untuk menggerakkan ekonomi. Rakyat memerlukan pelan mitigasi yang proaktif, bukannya sekadar saranan penjimatan di tengah-tengah tekanan harga yang kian menghimpit.

DUPP juga mempersoalkan kewajaran Kerajaan mengekalkan harga diesel pada kadar subsidi RM2.15 di Sabah dan Sarawak, namun membiarkan rakyat di Semenanjung menanggung kenaikan sehingga RM3.92. Sekiranya Kerajaan mempunyai instrumen dan jalan untuk mengekalkan harga di wilayah tersebut, maka cara yang sama sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara. Kegagalan melakukan penyelarasan yang adil ini adalah satu bentuk kezaliman, di mana beban ekonomi berat ini hanya difokuskan untuk ditanggung oleh rakyat di Semenanjung Malaysia sahaja.

Contohilah ibrah dari Al-Quran. Merujuk kepada tadbir urus Nabi Yusuf AS sepertimana yang diceritakan di dalam Al-Quran, Allah SWT mengajar kita bahawa krisis ekonomi diurus melalui perancangan simpanan dan agihan yang strategik. Nabi Yusuf AS menyediakan pelan tindakan tujuh tahun lebih awal bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat. Inilah model pengurusan krisis yang seharusnya dicontohi oleh kepimpinan negara—iaitu bersedia dengan pelan, bukan hanya bertindak selepas krisis membarah.

DUPP menyarankan agar Kerajaan segera menubuhkan sebuah Majlis Tindakan Khas Ekonomi yang mengumpulkan pakar-pakar ekonomi berwibawa, tokoh akademik, dan pemain industri. Majlis ini mestilah berfungsi secara bebas untuk merangka strategi jangka pendek dan panjang bagi memastikan kestabilan harga serta kelestarian ekonomi negara, demi memelihara maslahah (kepentingan) rakyat.

Perlu diingat bahawa krisis adalah ketetapan Allah yang hadir sebagai ujian untuk diurus dengan hikmah dan ilmu. Kegagalan mengurus krisis dengan pelan tindakan yang tuntas adalah satu bentuk pengabaian terhadap amanah kepimpinan yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.

​YB USTAZ DATO’ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/3/2026

- Advertisement -