Tiga amalan mudah 10 malam terakhir Ramadan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menasihatkan masyarakat agar terus menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun keterujaan menyambut Aidilfitri adalah perkara yang wajar, umat Islam tidak seharusnya melupakan kelebihan yang terdapat pada penghujung Ramadan, khususnya peluang untuk meraih ganjaran malam Lailatul Qadar.

Beliau menyatakan bahawa setiap individu digalakkan melakukan sekurang-kurangnya tiga amalan mudah setiap malam sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada merebut keberkatan yang dijanjikan.

“Sepanjang 10 malam terakhir ini, saya nasihatkan diri saya sendiri dan semua supaya lakukan sekurang-kurangnya tiga amalan setiap malam,” katanya.

Beliau berkata, amalan pertama yang boleh dilakukan ialah menunaikan solat sunat dua rakaat, yang dilihat sebagai ibadah ringan tetapi memberi ganjaran besar jika dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Menurutnya, solat sunat tersebut boleh dilakukan pada bila-bila masa pada waktu malam, sama ada selepas solat Isyak, ketika bangun qiamullail atau sebelum bersahur.

“Amalan kedua pula ialah bersedekah atau menderma, walaupun dengan jumlah yang kecil, kerana setiap sedekah yang diberikan pada bulan Ramadan dijanjikan pahala yang berlipat ganda,” ujarnya.

Tambah beliau, sedekah juga boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk termasuk membantu golongan memerlukan, memberi makanan kepada orang lain atau menyumbang kepada institusi kebajikan.

Sementara itu, ujar beliau lagi amalan ketiga yang disarankan ialah membaca surah Al-Ikhlas, yang boleh dilakukan berulang kali sebagai pengisian rohani sepanjang malam.

Dr Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, amalan-amalan berkenaan sangat mudah untuk diamalkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan keadaan.

“Kalau kita konsisten setiap malam, insya-Allah kita berpeluang bertemu malam Lailatul Qadar, walaupun kita tidak tahu malam yang tepat,” katanya.

Beliau menambah, jika seseorang itu istiqamah melakukan amalan tersebut sepanjang 10 malam terakhir, kemungkinan untuk bertemu malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu adalah sangat besar.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar memanfaatkan baki Ramadan dengan sebaiknya dan tidak terlalu leka dengan persiapan raya sehingga terlepas peluang merebut keberkatan pada penghujung bulan yang mulia itu. – HARAKAHDAILY 12/3/2026

- Advertisement -