
KUALA LUMPUR: Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 April 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, bakal menampilkan Himpunan Alam Melayu 2026 sebagai pengisian istimewa.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, himpunan berkenaan diwujudkan sebagai wadah khusus untuk mempererat persaudaraan serumpun serta memperkasa jati diri umat Islam di wilayah Nusantara.
Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan umat Islam di rantau ini terus menjadi tunjang kekuatan Islam dan dalam masa sama, kesatuan ummah perlu diperkukuh ketika dunia berdepan cabaran geopolitik yang semakin mencabar.
“Dalam mendepani cabaran geopolitik dunia yang semakin mencabar, kesatuan ummah bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kefarduan. Ijtimak ini merupakan platform strategik untuk menyatukan saf.
“(Iaitu kalangan) kepimpinan dan akar umbi umat Islam di peringkat global demi memperkukuh tali persaudaraan (ukhuwah) yang berteraskan syariat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS katanya menyeru seluruh umat Islam, para ulama, tokoh pemikir serta aktivis dakwah dari dalam dan luar negara untuk hadir menjayakan Ijtimak Antarabangsa tersebut.
Dalam pada itu katanya, Terengganu Darul Iman bersedia menjadi tuan rumah bagi menyambut ketibaan para tetamu yang hadir ke program berkenaan.
“Mari kita bersama-sama menjadi sebahagian daripada gelombang perpaduan ini. Semoga perhimpunan ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan umat yang lebih harmoni dan berdaulat,” katanya.
Terdahulu, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah telah diadakan beberapa kali sejak penganjurannya yang pertama pada tahun 1988 di Kampung Rusila, Marang, Terengganu.
Seterusnya, ijtimak kali kedua telah diadakan pada 30 hingga 31 Ogos 1993 di Rusila, Marang, Terengganu.
Ijtimak kali ketiga pula berlangsung pada 19 hingga 22 Mac 2015 di pekarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Bagi ijtimak kali keempat yang dikenali sebagai Ijtimak Rantau Asia, program ini telah diadakan pada 20 hingga 22 Julai 2017 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. – HARAKAHDAILY 12/3/2026











