
KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, menempelak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dilihat tidak mengambil tindakan tegas sejak kes penipuan pemain warisan yang menjejaskan imej negara didedahkan kepada umum tahun lalu.
“Menterinya (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) pula sibuk mengurus ‘Cawangan’ Kulim berbanding mengambil berat isu besar yang sedang dihadapi negara. Jelas sangat tidak kompeten untuk menjaga sebuah kementerian sebesar KDN,” tempelak Ketua Pemuda PAS Malaysia itu.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Setar berkata, sehingga kini masih tiada tindakan diambil oleh KDN walaupun kes berkenaan didakwa membabitkan kesalahan jenayah serius.
“Lebih mendukacitakan, sejak kes ini (penipuan pemain warisan yang menjejaskan imej negara) dibongkarkan sehingga ke saat ini, masih tiada tindakan diambil oleh KDN. Sedangkan kes ini telah menjadi suatu kesalahan jenayah yang sangat serius.
“Sampai bila KDN akan terus berpeluk tubuh dan menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dikambinghitamkan,” ujar Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak banyak mengubah pendirian yang telah dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), termasuk keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA bertarikh 3 November 2025.
Katanya, kes berkenaan boleh dilihat daripada dua perspektif iaitu proses naturalisasi yang meragukan serta jenayah penipuan dokumentasi dan sijil lahir.
Beliau berkata, Menteri KDN sebelum ini memaklumkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2025 bahawa permohonan naturalisasi semua pemain warisan dibuat mengikut garis perundangan sebenar.
Bagaimanapun katanya, timbul persoalan mengenai kepatuhan terhadap tiga syarat naturalisasi berdasarkan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
“KDN kata permohonan naturalisasi mesti dibuat tanpa melalui ejen lain. Tetapi FIFA mendedahkan pemain menyerahkan sepenuhnya kepada ejen dan FAM. Malah tidak tahu, tidak faham dan tidak sedar pendokumentasian naturalisasi mereka tanda tangan,” jelasnya.
Beliau turut mempersoalkan syarat pemastautin yang pada mulanya dinyatakan dipatuhi oleh pemain, namun kemudian dikecualikan menggunakan kuasa Menteri di bawah Butiran 20(1)(e), Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu terangnya, KDN menyatakan pemain lulus ujian Bahasa Melayu, namun FIFA mendedahkan pemain terbabit tidak mengetahui dan tidak memahami bahasa berkenaan.
“Mereka tidak membaca dokumen naturalisasi dan tidak tahu apa isi kandungannya. Malah mereka juga tidak dibentangkan mengenai isi kandungan dokumen berkenaan oleh pihak lain,” kesalnya.
Menurutnya lagi, sebelum isu kelayakan pemain terbabit bermain di bawah logo Harimau Malaya dibincangkan, proses naturalisasi pemain warisan berkenaan dikatakan mempunyai ‘episod gelap yang sama’.
“Bagaimana mungkin proses naturalisasi pemain seolah-olah melalui ‘pintu belakang’? Jawapan KDN pula hanya sekadar melepaskan batuk di tangga,” tempelaknya lagi.
Beliau juga mempersoalkan pemberian sijil lahir datuk atau nenek pemain berkenaan oleh Kerajaan Malaysia.
“Bagaimana proses semakan menyeluruh dan klarifikasi maklumat dilakukan oleh pihak KDN sendiri sedangkan terbukti sebaliknya bahawa segala maklumat adalah palsu.
“FIFA menjelaskan bahawa pemberian sijil lahir oleh Kerajaan Malaysia ‘unreliable’. Bukankah ia suatu situasi yang sangat memalukan?” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, CAS mengekalkan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya kerana memalsukan dokumen naturalisasi, tetapi hukuman hanya terpakai untuk perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel, namun pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.
Panel CAS juga mengekalkan denda CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) ke atas FAM dan menegaskan keputusan itu wajar, selepas rayuan gabungan FAM dan pemain dikemukakan pada 5 Disember 2025. – HARAKAHDAILY 6/3/2026











