Ancaman Mossad perlu ditangani ikut kerangka undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan berhubung ancaman ejen asing di negara ini perlu dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada dan tidak dijadikan alasan untuk bertindak di luar peraturan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang berlaku bergantung kepada kekuatan risikan dan keupayaan ketenteraan negara untuk bertindak segera terhadap sebarang ancaman.

- Advertisement -

“Bagi saya, kita kena lihat realitinya sejauh mana ancaman itu wujud. Adakah ia benar-benar ancaman atau dibesar-besarkan lebih daripada keadaan sebenar? Itu yang penting.

“Yang pentingnya ialah kita harapkan perisik dan unit keselamatan kita dapat memantau perkara tersebut.

“Namun jangan pula itu dijadikan alasan untuk bertindak atas nama keselamatan tetapi akhirnya bertindak di luar daripada peraturan yang ada,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kenyataan yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Parlimen,di sinI, berhubung ancaman ejen Mossad di negara ini.

Menurutnya, sebagai seorang Islam yang sayangkan negara, isu berkenaan perlu dilihat dalam kerangka perundangan sedia ada.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau bertanya kepada Perdana Menteri sejauh mana ancaman individu yang bekerja bagi pihak Mossad di Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri memaklumkan memang berlaku ancaman dan tangkapan telah dibuat, termasuk terhadap dua individu suami isteri yang didakwa menjadi ejen kepada Mossad.

“Perdana Menteri menyebut adanya ancaman. Kita pun dah dibuktikan berjaya tangkap. Ada orang yang bekerja beli senjata, bila ejen Israel sampai dia bekalkan enam pistol yang dijumpai baru-baru ini.

“Kononnya untuk apa sebenarnya? Ada individu tertentu yang menjadi sasaran di sini. Jadi ada orang bekerja bagi pihak Zionis,” katanya.

Beliau turut merujuk beberapa insiden di luar negara yang melibatkan ejen Mossad, termasuk pembunuhan pemimpin HAMAS, Ismail Haniyeh, serta kejadian di Iran dan Gaza.

“Ismail haniyeh meninggal dibunuh di hotel di Iran oleh ejen ejen Mossad. Anak Ismail Haniyeh juga mati di Iran pun ejen Mossad.

“Di Gaza Kenapa Israel boleh tembak tepat rumah pimpinan-pimpinan macam di Iran sekarang ni? Ayatollah Khomeini meninggal, (termasuk) jeneral tentera. (Ia terdapat) Ejen Mossad yang ada dalam tu,” ulasnya.

Menurutnya lagi, perkembangan teknologi canggih turut memberi kelebihan kepada pihak tertentu untuk mengesan sasaran, justeru negara perlu menguasai teknologi bagi memastikan keselamatan terjamin.

“Sekarang teknologi canggih. Sebab itu teknologi perlu kita kuasai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan ejen musuh tidak menimbulkan suasana kegawatan dalam negara.

“Memang tanggungjawab pihak kerajaan memastikan perkara itu tidak berlaku supaya ejen-ejen musuh yang bekerja bagi pihak musuh tidak menimbulkan suasana kegawatan,” tambahnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Perdana Menteri mendakwa individu yang cuba mensabotaj kerajaan mempunyai kaitan dengan kelompok Zionis terkemuka.

Anwar mendakwa, ia termasuk menggunakan media antarabangsa serta pegawai bank untuk menjejaskan ekonomi negara.

Beliau menegaskan cubaan itu tidak wajar disokong walaupun mungkin memberi manfaat politik kepada pihak tertentu kerana ia menjejaskan kepentingan negara dan institusi.

Anwar berkata isu berkenaan bukan berkaitan peribadi bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainudin, sebaliknya cubaan mempertikai keseluruhan sistem negara dan kedudukan kerajaan.

Turut dilaporkan bahawa Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan terbabit dalam sebarang cubaan mensabotaj atau menjatuhkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -