Turun padang agar kebajikan rakyat terbela

- Advertisement -

TUMPAT: Pendekatan turun padang penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, usaha menyantuni masyarakat secara bersemuka membolehkan wakil rakyat melihat sendiri keperluan dan permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menyertai Kembara Ramadan Pemuda PAS DUN Wakaf Bharu 2026 yang menyantuni 13 keluarga sekitar Mukim Wakaf Delima, di sini.

Menurutnya, sepanjang kembara tersebut, pasukan
terbabit menziarahi pesakit, asnaf serta aktivis masyarakat setempat bagi menyampaikan sumbangan dan bertanya khabar.

“Alhamdulillah mereka menyambut baik kehadiran kami dan begitu gembira kerana disantuni dalam suasana Ramadan yang penuh rahmat ini.

“Kita singgah dan santuni 13 keluarga sekitar Mukim Wakaf Delima sempena Kembara Ramadan Pemuda PAS DUN Wakaf Bharu 2026 kali ini,” ujarnya.

Selesai kembara tersebut, Mohd Rusli turut menghadiri Program Tadarus dan Iftar bersama masyarakat Mukim Kubang Batang sempena Program Ihya’ Ramadan DUN Wakaf Bharu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda DUN, ARC serta pihak masjid atas kerjasama padu dalam menjayakan program anjuran Pemuda PAS DUN Wakaf Bharu bersama Alternative Riding Club (ARC) Tumpat dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh hubungan antara pimpinan dan masyarakat setempat serta memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima perhatian dan kebajikan sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -