Menteri guna agensi kempen politik kepartian dibidas

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan agensi kerajaan atas kepentingan parti walaupun berstatus Menteri.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang program melibatkan parti politik perlu menggunakan kekuatan dan aset parti itu sendiri.

“Ada seorang Menteri, kerap sungguh turun mai Kedah terutama di Kulim dan Padang Serai. Susun program semua guna agensi kerajaan, sedangkan program tu program kempen untuk diri dia sendiri.

“Kita tengok lama dah. Kalau tak tegur rasanya tak boleh. Kalau nak menang gunalah dana parti sendiri. Janganlah salah guna kuasa,” tegasnya yang juga Menteri Besar Kedah.

Katanya lagi, berbeza dengan PAS, walaupun menjadi kerajaan di Kedah, namun tidak pernah menggunakan dana mahupun aset kerajaan untuk kepentingan parti.

Sebaliknya ujar beliau, ahli-ahli PAS terus setia menyumbang dan menderma untuk program-program serta gerak kerja parti dan pilihan raya.

“Itu bezanya PAS dengan parti lain,” kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Iftar anjuran PAS Kawasan Kuala Kedah, di Telok Bagan, di sini malam tadi.

Pada ucapannya, Muhammad Sanusi turut menyentuh berkenaan pelbagai kejadian yang mencabar maruah umat Islam di mana berlaku dengan berleluasa ketika ini.

“Kita pun tak sangka ada orang bukan Islam pijak Al-Quran dan sebar di media sosial. Tak ada dalam sejarah negara pernah berlaku kejadian seperti itu.

“Orang jadi tak heran (tak takut) sebab orang Islam yang kawal kuasa negara lemah dan lembik. Bukan peristiwa itu sahaja, banyak lagi. Itu membuktikan kelemahan pihak pentadbiran negara,” tambah beliau.

Namun katanya, lebih mengecewakan apabila semua kejadian tersebut diletakkan kesalahan kepada pihak lain di mana pemimpin negara lebih cenderung menyalahkan golongan agama, para ulama dan sebagainya.

Sedangkan tegasnya, itulah kesan daripada kelemahan politik orang Islam yang mahukan kuasa, tetapi menjadikan pihak lain selain Islam sebagai rujukan.

Depa (mereka) kata nak jadikan Kedah ni kubu depa. Saya kata mai (mari). Kita akan jadi Kedah ni kubur mereka,” bidas beliau lagi dipercayai merujuk kepada PKR.

Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan tekad menjadikan Kedah sebagai kubu PKR pada PRU16 nanti bersandarkan prestasi ‘kejayaan memenangi beberapa’ kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15.

Bagaimanapun pada PRU15 lalu PKR hanya menang satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merosot teruk berbanding 10 kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN pada PRU14.

Kesempatan itu, Sanusi turut mengingatkan ahli-ahli dan pemimpin PAS bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang kemungkinan pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.

Katanya, PAS yang kini mengetuai Perikatan Nasional (PN) menjadi
harapan besar rakyat agar kuasa negara dikuasai oleh blok politik Melayu-Islam.

“Kena pulun (bersungguh) betul-betul. Jangan biaq (biar) negara ni dikuasai puak Madani,” pesannya turut merasmikan Pelancaran 5 Minit Media Sosial PAS Kawasan Kuala Kedah.

Majlis turut dihadiri, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak serta ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 1/3/2026

- Advertisement -