Isu pijak al-Quran: Mohon maaf bukan alasan tutup siasatan

Zulfadli Zakariah
- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap seorang individu yang memuat naik kandungan menghina Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran yang tular di media sosial.

Ketua Pemudanya, Zulfadli Zakariah berkata, perbuatan tersebut merupakan penghinaan serius terhadap kesucian agama Islam dan tidak seharusnya berlaku, apatah lagi membabitkan individu yang dikaitkan dengan institusi pengajian tinggi awam.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun individu terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesalahan, tindakan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup siasatan atau mengelakkan hukuman.

“Dewan Pemuda PAS Pahang melahirkan rasa amat kesal, marah dan dukacita terhadap isu tular melibatkan seorang individu yang didakwa pelajar di Universiti Awam di Pahang, yang bertindak biadab dengan memuat naik kandungan menghina Islam.

“Perbuatan tersebut adalah satu penghinaan yang amat serius terhadap kesucian agama Islam, lebih-lebih lagi berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Tindakan ini jelas melampaui batas kemanusiaan.

“Walaupun permohonan maaf tersebut wajar dihargai sebagai satu bentuk keinsafan, namun ia tidak boleh sama sekali menutup kesalahan yang telah dilakukan. Sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia tidak boleh berkompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan yang menyentuh isu agama. Tindakan tegas mesti tetap diambil agar menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa sensitiviti agama tidak boleh dipermainkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial, gambar kaki seorang lelaki memijak Al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam di sini.

Turut tular gambar suspek serta tangkap layar komen penuntut terbabit menghina Nabi Muhammad SAW.

Zulfadli menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional terhadap kes tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Antaranya Seksyen 298A Kanun Keseksaan-perbuatan yang boleh menyebabkan perpecahan atau permusuhan atas dasar agama. Seksyen 504 Kanun Keseksaan-penghinaan dengan niat mencetuskan pecah keamanan.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998-penyalahgunaan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan kandungan jelik atau berunsur ancaman.

“Kami mendesak pihak berkuasa agar menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak bertindak melampaui batas undang-undang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab.

“Kami menyeru semua pihak agar kekal bertenang, tidak bertindak di luar batas.

“Keharmonian negara adalah amanah bersama. Menghormati agama dan kepercayaan orang lain bukan satu pilihan, tetapi satu kewajipan yang mesti dipertahankan oleh setiap warganegara,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2026

- Advertisement -