Dr Sam bawa selera politik baharu, imej diyakini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) pada 22 Februari lalu melambangkan peralihan generasi, perubahan gaya politik dan kemunculan pendekatan pentadbiran lebih teknokrat serta berorientasikan prestasi.

Pensyarah Kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, reaksi ‘panas’ di media sosial bukan sesuatu yang luar biasa.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia kerana dalam politik Malaysia, kegelisahan lazimnya memuncak apabila muncul tokoh yang sukar diserang dan berpotensi mengubah cara permainan lama.

Beliau berkata, lebih penting, lantikan Dr Sam membuka ruang untuk PN memulihkan keyakinan rakyat melalui pengukuhan institusi dan budaya integriti.

Katanya, Malaysia kini berdepan defisit kepercayaan terhadap sebahagian agensi dan institusi susulan persepsi isu ketelusan, campur tangan politik, ketirisan serta kelemahan tatakelola dalam beberapa episod kebelakangan ini.

“Dalam suasana ini, tokoh yang mempunyai imej bersih, tidak sarat kontroversi, bersifat sederhana dan profesional boleh menjadi simbol kepada usaha memulihkan kepercayaan.

“Kepercayaan awam tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata, sebaliknya mesti bermula dengan contoh kepimpinan yang meletakkan disiplin, tatakelola dan ketelusan sebagai standard,” hujahnya dalam satu kenyataan.

Dr Nur Ayuni berkata, apa yang membuatkan sesetengah pihak ‘panas’ bukan semata-mata kerana siapa Dr Sam, tetapi kerana apa yang beliau wakili.

Tambah beliau, Dr Sam bukan produk politik lama yang hidup dengan drama dan tidak mudah dijatuhkan melalui serangan peribadi kerana setakat ini sukar dicari ‘peluru’ untuk menyerang beliau.

“Beliau membawa naratif bahawa politik tidak semestinya bising untuk menjadi berkesan dan kepimpinan tidak perlu flamboyan untuk meyakinkan.

“Jika tokoh teknokrat yang tenang, sederhana dan berintegriti mampu menarik sokongan lebih luas termasuk kelas pertengahan serta pengundi bandar, keseimbangan kuasa politik negara boleh berubah.

“Reaksi panas itu sebenarnya isyarat landskap sedang bergerak dan apabila landskap bergerak, pasti ada yang resah kerana takut kehilangan kedudukan,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan bahawa pelantikan Dr Sam sebagai Pengerusi PN wajar dilihat sebagai peluang membina semula politik berasaskan kerja, memperkukuh institusi dan memulihkan kepercayaan rakyat yang sekian lama diuji isu integriti serta kelemahan tadbir urus.

“Sama ada beliau akan melangkah lebih jauh atau tidak, masa akan menentukan. Namun, perubahan gaya kepimpinan ini sudah pun menggoncang zon selesa politik lama dan ini sendiri adalah permulaan kepada perubahan politik yang lebih matang,” ulasnya.

Ruang kepimpinan baharu nasional

Dr Nur Ayuni turut membangkitkan dimensi penting dalam naratif politik baharu, iaitu sejak merdeka, kesemua Perdana Menteri Malaysia lahir sama ada daripada Umno atau bekas pemimpin Umno.

Keadaan itu, katanya, menunjukkan kepimpinan nasional selama ini berlegar dalam lingkungan elit politik yang sama.

“Dalam konteks ini, pelantikan Dr Sam sebagai Pengerusi PN membuka ruang perbincangan bahawa sudah tiba masanya negara memberi peluang kepada pemimpin yang lahir daripada parti lain, khususnya PAS, untuk memimpin negara.

“Ia bukan soal sentimental parti, tetapi kematangan demokrasi dan kesediaan menerima perubahan pola kuasa,” ulasnya lagi.

Beliau berkata, PAS kini merupakan parti politik terbesar di Parlimen dari segi bilangan kerusi dan dalam sistem demokrasi, kekuatan mandat wajar diterjemahkan kepada peluang kepimpinan nasional.

Katanya, memberi ruang kepada tokoh seperti Dr Sam juga membawa potensi pendekatan berasaskan prestasi, integriti dan disiplin pentadbiran, selari dengan tuntutan rakyat yang semakin menilai kerja, bukan retorik.

“Jika politik baharu benar-benar ingin dibina, keberanian untuk keluar daripada dominasi tradisi lama adalah sebahagian daripada proses pematangan demokrasi negara,” katanya.

Kritikan ‘tiada wow factor’ tidak tepat

Mengulas kritikan terhadap pelantikan itu, Dr Nur Ayuni berkata antara yang diulang ialah dakwaan kononnya Dr Sam ‘tidak ada wow factor’.

Beliau menjelaskan bahawa kritikan itu lebih menggambarkan selera politik lama yang terlalu bergantung kepada retorik, drama dan polemik, seolah-olah kepimpinan mesti diukur melalui kemampuan membuat ‘persembahan’ di pentas.

Menurut beliau, Dr Sam bukan pendebat agresif seperti Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang terkenal dengan kebolehan menundukkan lawan di Parlimen dan bukan juga tokoh flamboyan yang menjadikan politik sebagai gelanggang persembahan.

“Namun, kepimpinan negara bukan pertandingan pidato. Negara yang berdepan cabaran ekonomi, kos sara hidup, perubahan teknologi dan persaingan global memerlukan pemimpin yang berfikir secara strategik, bercakap bila perlu, diam bila perlu, tetapi bekerja secara konsisten.

“Dalam suasana rakyat semakin letih dengan konflik, sikap tenang dan profesional sebenarnya boleh menjadi nilai tambah, bukan kelemahan,” katanya.

Pengalaman mentadbir negeri bersifat substantif

Dr Nur Ayuni dalam pada itu menegaskan, dakwaan kononnya Dr Sam ‘tidak ada pengalaman’ juga tidak tepat jika pengalaman diukur secara menyeluruh.

Katanya, Dr Sam ialah jurutera aeroangkasa yang membawa gelaran Ir, mempunyai latar akademik kukuh sebagai pensyarah dan profesor serta memimpin Terengganu sebagai Menteri Besar sejak 2018.

“Pengalaman beliau bukan bersifat ‘kosmetik’, tetapi pengalaman mengurus negeri dalam keadaan sumber tidak semewah negeri tertentu, berhadapan isu hasil negeri serta mengimbangi tuntutan pembangunan dengan kestabilan sosial.

“Pentadbiran stabil, ketiadaan skandal mega yang menggoncang kerajaan negeri dan kemampuan mengekalkan Terengganu dalam keadaan terkawal menunjukkan pengalaman beliau wujud dalam bentuk lebih substantif, iaitu pengalaman mentadbir,” hujahnya.

Beliau berkata, perbandingan yang menyatakan Dr Sam ‘tidak setanding’ dengan tokoh seperti Anwar atau mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyempitkan definisi kelayakan kepada ‘pernah jadi Perdana Menteri’ atau ‘pernah jadi menteri’.

Menurutnya lagi, negara memerlukan kepelbagaian profil kepimpinan dan Dr Sam hadir dengan profil berbeza sebagai teknokrat Islamis sederhana yang berpendidikan tinggi, lebih fokus kepada kerja serta tidak dibebani kontroversi besar.

“Dalam konteks politik yang semakin menuntut kesederhanaan dan profesionalisme, perbezaan gaya ini bukan kekurangan, bahkan boleh menjadi aset strategik,” katanya.

Beliau turut menyentuh kelebihan latar profesional Dr Sam sebagai jurutera aeroangkasa dan perbandingan dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir menurutnya adalah sebagai doktor perubatan yang melalui latihan menekankan analisis berstruktur, ketepatan dan penyelesaian masalah secara sistematik.

Katanya, disiplin sedemikian lazimnya membentuk pendekatan kepimpinan lebih teknokratik, berorientasikan hasil dan pengurusan risiko, khususnya ketika negara berdepan cabaran ekonomi, teknologi dan tadbir urus yang kompleks.

Tolak dakwaan gagal tadbir negeri

Mengulas pandangan bahawa Dr Sam sepatutnya hanya fokus mentadbir negeri, Dr Nur Ayuni berkata logik itu tidak kukuh kerana dalam tradisi politik Malaysia, ramai Menteri Besar dan Ketua Menteri memegang peranan parti di peringkat nasional tanpa mengabaikan negeri.

Katanya, mandat kuat rakyat Terengganu kepada kerajaan negeri membuktikan pentadbiran negeri tidak runtuh hanya kerana pemimpinnya memikul tanggungjawab lebih besar.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya Dr Sam gagal menjaga Terengganu kerana tuduhan itu tidak disertakan bukti jelas dan lebih berupa persepsi politik atau sentimen lawan.

“Terengganu sering dirujuk sebagai antara negeri paling bahagia di Malaysia dan pentadbiran negeri kekal stabil tanpa krisis dalaman besar.

“Kerajaan negeri juga disebut berjaya memperbaiki kedudukan kewangan, menyelesaikan isu projek terbengkalai serta mengekalkan identiti sosial yang harmoni.

“Jika benar pentadbiran negeri gagal, sukar untuk menjelaskan mengapa kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri boleh kekal begitu ketara,” bidasnya.

Dr Nur Ayuni juga menjelaskan, penghargaan terhadap Dr Sam juga tidak datang daripada penyokong PAS sahaja, tetapi pujian juga muncul daripada lawan politik atau pemerhati neutral

Beliau merujuk pandangan peguam, Lt Kol Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Borhan dari Umno Ketereh yang menilai pelantikan Pengerusi PN bukan dalam kalangan presiden parti sebagai tanda kesediaan PN memecah tradisi dan menerima pembaharuan.

Selain itu, beliau turut menyebut pandangan penganalisis politik, Fathi Aris Omar yang melihat Dr Sam sebagai calon sesuai untuk PAS tampil lebih yakin dengan tokoh sendiri.

“Apabila pujian datang dari spektrum berbeza, mesejnya jelas bahawa pelantikan ini bukan semata-mata kemenangan dalaman, tetapi pengiktirafan bahawa Dr Sam mewakili profil kepimpinan yang sukar dipandang ringan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2026

- Advertisement -