
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Abu Zainab Ahmad Syakir Norazli, menyenaraikan peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa individu yang bertindak memijak al-Quran baru-baru ini.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan perlu disebarkan supaya rakyat dan menteri mengetahui tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pelaku terbabit.
Menurut beliau, antara peruntukan utama ialah di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penghinaan agama.
Beliau menyatakan, Seksyen 295 memperuntukkan kesalahan membinasakan atau mencemarkan tempat sembahyang atau objek suci seperti al-Quran dengan niat menghina agama.
“Hukuman bagi kesalahan itu adalah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam media sosial milik beliau.
Selain itu, tambah beliau, Seksyen 298A akta sama memperuntukkan kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan atas alasan agama.
“Hukuman bagi kesalahan ini adalah penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” tegasnya.
Abu Zainab turut memaklumkan bahawa tindakan memuat naik perbuatan berkenaan ke internet juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Beliau berkata, Seksyen 233 akta itu memperuntukkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Ia termasuk menyebarkan kandungan yang menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau menyakitkan hati orang lain.
“Hukuman yang boleh dikenakan adalah denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya. Denda tambahan RM1,000 juga boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan sedemikian juga boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 sekiranya didapati mempunyai ‘kecenderungan menghasut’ yang boleh menimbulkan perasaan tidak suka atau permusuhan antara kaum atau penganut agama berbeza.
Katanya, Seksyen 4(1) memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pertama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilaporkan telah ditahan polis di Kuantan kerana disyaki menghina Islam di media sosial, termasuk memijak al-Quran dan mengeluarkan komen menghina Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek akan direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HARAKAHDAILY 26/2/2026











