
KOTA BHARU: Seorang lelaki yang tular berpakaian menyerupai duyung di kawasan Pengkalan Chepa telah disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang syariah Negeri Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan, berkata rakaman video yang tular pada 21 Februari lalu memaparkan individu terbabit melakukan aksi tidak sopan, dan ia telah dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati individu tersebut telah dikenal pasti dan satu kertas penyiasatan telah dibuka.
“Suspek dipanggil hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK pada 23 Februari 2026 bagi tujuan merekod keterangan,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di MABNA, Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Menurut beliau, suspek telah diisytiharkan tangkap di bawah Seksyen 19 iaitu lelaki berlagak seperti perempuan dan Seksyen 21 iaitu perbuatan tidak sopan di bawah Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan.
“Selepas proses dokumentasi dan siasatan awal, suspek dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarahkan hadir semula pada 8 Jun 2026 bagi prosiding seterusnya,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaku bukan pemilik gerai jualan berkenaan, sebaliknya diupah bagi tujuan promosi. Mungkin beliau tidak mengetahui perbuatannya adalah satu kesalahan.
“Namun dalam undang-undang, sama ada sedar atau tidak, ia tetap dianggap kesalahan dan tindakan mesti diambil sebagai pengajaran supaya perkara sama tidak berulang,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas, berhemah dan mengikut undang-undang terhadap sebarang perbuatan yang bertentangan dengan nilai syariah serta norma masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Kelantan agar memastikan setiap tindakan tidak melanggar undang-undang, norma budaya setempat dan ajaran agama, terutamanya dalam bulan Ramadan. –HARAKAHDAILY 26/02/2026











