Sengaja muntah membatalkan puasa

Fiqh Puasa

- Advertisement -

Sengaja muntah ertinya seorang itu berusaha supaya dia muntah seperti dengan cara sengaja berdehem atau sengaja batuk sekuat hati atau menjolok-jolok mulutnya supaya muntah oleh sebab suatu hal.

- Advertisement -

Manakala erti termuntah atau tidak sengaja muntah ialah keluarnya muntah bukan dengan sebab diusahakannya seperti muntah kerana pening kepala atau sebab naik kenderaan atau naik perahu atau sakit atau sebab-sebab yang lain.

Sandaran pada masalah ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya:

قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ مَنْ ذَرَعَهُ اَلْقَيْءُ فَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَمَنْ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ اَلْقَضَاءُ

Ertinya: “Telah bersabda oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam: Barangsiapa yang termuntah maka tidak ada qada atasnya dan barangsiapa yang sengaja muntah maka atasnya qada.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud dan Tirmizi dan Ad-Darimi)

Maksud tidak ada qada atasnya itu ialah dia tidak wajib qada sebab puasanya tidak batal.

Dan sebab tiada ada qada atas yang termuntah itu kerana ia tidak membatalkan puasa dan sebab wajib qada atas yang sengaja muntah itu kerana ia membatalkan puasa.

Maka siapa yang termuntah bukan dengan kesengajaannya dan bukan dengan usahanya maka puasanya tidak batal dan siapa yang sengaja muntah maka puasanya batal.

Tetapi jika dia baru masuk Islam dan belum sempat belajar tentang hukum puasa lalu dia sengaja muntah atau dia terlupa sedang berpuasa lalu disengajakan muntah atau dia dipaksa muntahkan diri maka tidak batal puasanya.

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari:

فَلَا يَبْطُلُ بِذَلِكَ نَاسِيًا وَلَا مُكْرَهًا وَلَا جَاهِلًا مَعْذُورًا بِأَنْ قَرُبَ عَهْدُهُ بِالْإِسْلَامِ

Ertinya: “Maka tidak batal puasa sengaja muntah itu oleh seorang yang terlupa atau orang yang dipaksa atau orang yang tidak tahu hukumnya sebab baru masuk agama Islam.” (Kitab Fathu Al-Wahhab)

Yang dimaksudkan dengan terlupa itu ialah orang yang berpuasa itu terlupa bahawa dia sedang berpuasa.

Dan berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

هَذَا إذَا كَانَ عَالِمًا بِالتَّحْرِيمِ عَامِدًا مُخْتَارًا لِذَلِكَ، فَإِنْ كَانَ جَاهِلًا لِقُرْبِ عَهْدِهِ بِالْإِسْلَامِ أَوْ نَشَأَ بَعِيدًا عَنْ الْعُلَمَاءِ أَوْ نَاسِيًا أَوْ مُكْرَهًا فَإِنَّهُ لَا يُفْطِرُ

Ertinya: “Ini semua apabila adalah orang tersebut tahu dengan diharamkannya dan dengan sengaja dan tidak dipaksa melakukan yang demikian itu. Maka jika seorang itu adalah seorang yang jahil kerana baru memeluk Islam atau tinggal di negeri yang jauh daripada ulamak atau terlupa atau dipaksa maka bahawasanya sengaja muntah itu tidak membatalkan.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Apabila tidak batal puasa seseorang sebab termuntah maka tiadalah atasnya kewajipan qada.

Dalam sebuah hadis Rasulullah sollallahu alaihi wasallam menjelaskan dengan sabdanya:

مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلْيُتِمَّ عَلَى صَوْمِهِ ، وَلاَ قَضَاءَ عَلَيْهِ وَمَنْ قَاءَ مُتَعَمِّدًا فَلْيَقْضِ

Ertinya: “Siapa yang termuntah maka hendaklah dia teruskan puasanya dan tiada qada atasnya dan siapa yang muntah dalam keadaan sengaja maka hendaklah dia qada (yakni ganti puasanya).” (Hadis riwayat Ad-Daruqutni)

Dan apabila puasanya batal maka wajiblah atasnya melakukan qada.

Yang dihukumkan batal puasa dengan sengaja muntah itu ialah apabila keluar muntahnya dari dalam perut ke mulutnya.

Maka jika naik suatu dari perutnya dan hanya sampai ke kerongkongnya tiada keluar ia dari mulutnya maka puasanya tidak batal kerana yang seperti itu tidak dihukumkan sebagai muntah.

Demikian lagi jika seorang yang berusaha supaya muntah tetapi tidak keluar muntahnya maka tidaklah dihukumkan batal puasanya.

Begitu juga batal puasa jika seorang berusaha mengeluarkan suatu yang terlekat dalam perutnya misalnya makanan yang menyebabkan perutnya sakit lalu dia berusaha supaya muntah lalu dia muntah maka batal puasanya.

Tetapi jika dia sengaja keluarkan suatu bukan dengan jalan muntah seperti dikeluarkan dari duburnya atau telinganya maka tidak membatalkan puasa kerana membatalkan itu hanya tertentu dengan muntah sahaja.

Menyebut olih Syeikh Sa’id Al-Hadhrami As-Syafie:

ولو أصبح صائم وفي أذنه أو دبره نحو عود .. لم يفطر بإخراجه، لاختصاص الاستقاءة بالخارج من الفم ومن الاستقاءة ما لو دخلت ذبابة جوفه قهراً فأخرجها، فيفطر إن علم وتعمد

Ertinya: “Dan kalau pada pagi hari seorang yang berpuasa ada umpama ulat di dalam telinganya atau duburnya maka tidak membatalkan puasa apabila dia keluarkannya. Dan termasuk sengaja muntah itu ialah apabila termasuk lalat ke dalam perutnya kemudian dia keluarkannya maka membatalkan puasa jika dia tahu dan sengaja.” (Kitab Busyral Karim)

Seorang yang sengaja muntah tetapi muntahnya hanya sampai ke kerongkong sahaja tidak sampai ke mulut maka puasanya tidak batal.

Dan tidak disyaratkan sengaja muntah yang membatalkan puasa itu mesti menelan kembali muntah yang keluar tetapi sudah dikira batal sebaik sahaja keluar muntah dari dalam perutnya ke mulutnya.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami:

فيفطر من استدعى القيء عامدا عالما مختارا وإن لم يعد منه شيء إلى جوفه لأنه مفطر لعينه لا لعود شيء

Ertinya: “Maka membatalkan puasa siapa yang sengaja muntah lagi pula tahu dan tidak dipaksa dan dengan ikhtiar sekalipun tidak kembali suatu pun dari muntah itu ke dalam perutnya. Kerana ia membatalkan dengan semata-mata muntah itu bukan dengan sebab kembali suatu ke dalam perut.” (Kitab Minhaju Al-Qawwim Syarah Muqaddimah Al-Hadhramiyah)

Berkata Syeikh Jamal:

وَالِاسْتِقَاءَةُ مُفْطِرَةٌ وَإِنْ عَلِمَ أَنَّهُ لَمْ يَرْجِعْ شَيْءٌ إلَى جَوْفِهِ فَهِيَ مُفْطِرَةٌ لِعَيْنِهَا لَا لِعَوْدِ شَيْءٍ مِنْ الْقَيْءِ،

Ertinya: “Dan bermula sengaja menuntut muntah itu membatalkan puasa walaupun dia tahu bahawa tiada suatu pun dari muntahnya itu kembali semula ke dalam perutnya. Maka sengaja muntah itu sendiri ialah penyebab bagi batal puasa bukannya yang membatalkan itu ialah kembali muntah ke dalam perut.” (Kitab Hasyiah Jamal)

Dan atas yang sengaja muntah itu hanya diwajibkan qada puasanya yang telah batal itu tidak ada diwajibkan atasnya membayar kafarah.

Berkata Imam Al-Imrani As-Syafie:

إذا استدعى القيء فتقيأ أفطر، ووجب عليه القضاء دون الكفارة

Ertinya: “Apabila seorang itu menyengajakan muntah lalu dia muntah maka batal puasanya dan wajib atasnya qada tiada wajib kafarah.” (Kitab Al-Bayan)

Hukum sengaja muntah ialah haram dan berdosa kerana dikira sengaja merosakkan puasanya.

Tetapi jika seorang itu sengaja muntah kerana melepaskan sesuatu yang tersekat pada kerongkongnya atau kerana tertelan suatu yang merbahaya maka tidaklah berdosa kesengajaannya atas muntah itu dan puasanya tetap batal.

Seorang yang termuntah dengan bukan disengajakan kemudian tertelan kembali sebahagian muntahnya bukan dengan sengaja maka tidak batal puasanya kerana masuk dalam hukum tersalah atau terlupa seperti pada masalah makan minum.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 26/2/2026

- Advertisement -