
SHAH ALAM: Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar, mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak Al-Quran, menyifatkannya sebagai penghinaan terbuka terhadap kitab suci umat Islam.
Kejadian itu dilaporkan berlaku baru-baru ini di salah satu kampus UMPSA, ketika pelajar berkenaan melakukan perbuatan provokatif dalam ruang awam universiti, yang mengundang kemarahan pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar lain, dan komuniti setempat.
Menurut Sukri, tindakan itu bukan sekadar salah laku kecil, sebaliknya merupakan provokasi melampau yang mencabar keharmonian masyarakat serta menguji ketegasan undang-undang negara.
“Al-quran adalah kalam Allah yang dimuliakan oleh lebih 60 peratus rakyat Malaysia beragama Islam. Ia bukan sekadar teks, tetapi asas akidah, syariat dan peradaban,” tegasnya dalam satu kenyataan media di laman media sosial.
Sehubungan itu, beliau menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan segera, termasuk mewujudkan siasatan serta pendakwaan di bawah undang-undang sedia ada berkaitan penghinaan agama dan ketenteraman awam, dengan hukuman paling berat yang boleh dijatuhkan.
“Seteterusnya, pihak berkenaan perlu melakukan penamatan pengajian ke atas pelajar tersebut serta larangan memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam.
“Hukuman kerja kemasyarakatan berat dan berpanjangan di bawah pemantauan rasmi, termasuk khidmat wajib di institusi kebajikan dan program pemulihan sahsiah yang ketat,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam menegaskan bahawa undang-undang semasa mungkin tidak mencukupi untuk menangani penghinaan terbuka terhadap Islam.
Oleh itu, ujar beliau, kerajaan diseru mempertimbangkan penggubalan rang undang-undang lebih tegas dan khusus bagi melindungi kesucian agama Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Ketegasan negara dalam isu ini akan menjadi garis pemisah bahawa kesucian Al-Quran tidak boleh dipijak dan agama tidak boleh dijadikan bahan provokasi,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti agar bersatu menyokong usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam.
“Isu ini bukan soal politik kepartian, tetapi soal prinsip, aqidah, dan ketenteraman negara,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya tindakan tegas tidak diambil oleh kerajaan, beliau bersedia menggerakkan bantahan awam besar-besaran mengikut Akta Perhimpunan Aman bagi menuntut keadilan. HARAKAHDAILY – 26/2/2026











