
KOTA BHARU: Seorang peniaga air balang yang mengupah seorang lelaki berpakaian menyerupai duyung untuk tujuan promosi di Pengkalan Chepa, di sini, telah menghentikan operasi gerai susulan kecaman masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, memaklumkan individu terbabit diupah sebanyak RM200 oleh peniaga yang memiliki lesen menjaja sementara daripada pihak berkuasa tempatan.
“Kandungan video itu dirakam sebelum Ramadan tetapi dimuat naik ke media sosial ketika bulan puasa dan kami terus ke lokasi khemah jualan selepas menerima maklumat dan mengeluarkan notis supaya video tersebut dipadamkan. Video berkenaan telah dipadamkan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco dwi mingguan di MABNA, di sini.
Beliau menjelaskan, tindakan kompaun tidak dapat dikenakan kerana peniaga mempunyai lesen sah dan undang-undang kecil sedia ada tidak mempunyai peruntukan khusus bagi kesalahan promosi.
Bagaimanapun, semua pihak berkuasa tempatan telah diminta meneliti cadangan memasukkan klausa baharu dalam undang-undang kecil perniagaan berkaitan larangan promosi yang tidak patuh syariah atau bertentangan dengan adab susila.
Tambah beliau, peniaga terbabit kini telah menghentikan operasi dan menutup gerai bagi menghormati sensitiviti masyarakat.
-HARAKAHDAILY 26/2/2025











