
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan supaya para peniaga memelihara adab dan mematuhi undang-undang dalam semua aktiviti perniagaan sepanjang bulan Ramadan, bagi menjaga sensitiviti masyarakat dan imej negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, berkata isu tular melibatkan seorang lelaki berpakaian menyerupai duyung baru-baru ini harus dijadikan pengajaran bahawa promosi perniagaan tidak boleh dijadikan alasan melampaui batas.
“Kerajaan negeri mengharapkan rakyat agar menjaga tatasusila dan budaya masyarakat Melayu Kelantan. Perbuatan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa di MABNA, di sini.
Beliau menjelaskan bahawa enakmen sedia ada memperuntukkan kesalahan bagi lelaki berpakaian seperti wanita di bawah Perkara 19 dan wanita berpakaian seperti lelaki di bawah Perkara 18, bertujuan menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Tambah beliau, Ramadan yang menyaksikan ramai peniaga berniaga harus diiringi etika, adab dan kepatuhan undang-undang supaya identiti masyarakat beragama di Kelantan terpelihara.
“Apabila sesuatu isu menjadi tular, ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat tetapi turut memberi imej kepada negeri dan masyarakat keseluruhannya,” ujarnya.
Menurutnya, peniaga dinasihatkan mencari rezeki secara beretika, memastikan promosi tidak bercanggah dengan nilai agama dan norma masyarakat demi keharmonian sepanjang Ramadan. –HARAKAHDAILY 26/02/2026











