Ulamak PAS bidas kenyataan PMX, gesa penjelasan terbuka

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Ulamak PAS Pusat membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang dilaporkan telah menegur segelintir tokoh agama yang didakwanya menggunakan kedudukan mereka untuk memecah-belahkan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, kenyataan berkenaan disifatkan tidak wajar dan berpotensi menimbulkan salah faham terhadap institusi agama.

Menurutnya, dalam keadaan umat Islam berdepan cabaran pemikiran dan serangan persepsi, kenyataan umum yang menyentuh kredibiliti tokoh agama boleh membuka ruang kepada pihak tertentu untuk terus mempertikaikan kewibawaan ulama.

“Sebagai seorang Perdana Menteri yang beragama Islam, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi Islam dan golongan ulama, bukan mengeluarkan kenyataan umum yang berpotensi menimbulkan salah faham serta membuka ruang kepada pihak yang memusuhi Islam untuk terus menyerang kewibawaan agamawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, Islam meletakkan ulama pada kedudukan tinggi sebagaimana dinyatakan dalam Surah Fatir ayat 28 yang menjelaskan bahawa golongan berilmu adalah mereka yang paling takut kepada Allah dan menjadi rujukan umat.

“Justeru, sebarang kenyataan yang bersifat umum dan menyentuh kredibiliti tokoh agama hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab, berasaskan fakta yang jelas, serta tidak memberi gambaran seolah-olah institusi agama menjadi punca perpecahan.

“Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa Ulama berperanan sebagai penasihat ummah dan pemerintah berdasarkan prinsip amar makruf nahi mungkar.

“Kritikan terhadap mana-mana pihak hendaklah bersifat spesifik dan berfakta, bukan berbentuk generalisasi yang boleh menjejaskan maruah institusi agama,” katanya.

Terdahulu, Anwar menegur segelintir pihak yang menggunakan kedudukan sebagai tokoh agama untuk menimbulkan permasalahan sekali gus memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Beliau berkata, tindakan berselindung di sebalik nama agama itu hanya mencetuskan polemik serta merosakkan keharmonian dan usaha membangunkan negara.

Kata Anwar lagi, meskipun Islam sebagai agama rasmi di Malaysia namun beliau tetap memberi jaminan hak serta kebebasan beragama kepada kaum lain seperti yang dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan

Sehuhungan itu, Hamzah mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Ahli Parlimen Tambun itu menarik balik kenyataan tersebut serta memperjelaskan pendirian secara terbuka demi memelihara keharmonian serta mengangkat martabat Islam.

“Dalam suasana umat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran, perpaduan mesti dibina atas asas saling menghormati peranan masing-masing, khususnya terhadap institusi ulama yang menjadi benteng akidah dan syariat.

“Dewan Ulamak PAS Pusat kekal komited mempertahankan kedudukan Islam dan para agamawan daripada sebarang bentuk penghinaan, stigma atau persepsi yang merosakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2026

- Advertisement -