Nyawa di hujung tanduk: Risiko misi kemanusiaan

Aktivis kongsi cabaran misi PASRelief

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyertai misi kemanusiaan di negara bergolak dan zon bencana bukanlah satu tugasan biasa, sebaliknya ia umpama meletakkan nyawa di hujung tanduk.

Aktivis kemanusiaan PASRelief, Norhafiza Fadhil mendedahkan pelbagai cabaran getir yang terpaksa ditempuhi oleh para petugas, merangkumi ancaman keselamatan yang kritikal, kekangan logistik, sehinggalah kepada isu birokrasi ketat pihak berkuasa.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalamannya dalam sesi forum sempena program Iftar for Humanity (IFFAH 1.0) di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, semalam.

Mengimbau misinya ke Mindanao, Filipina, Norhafiza berkata kawalan keselamatan yang luar biasa ketat mula dirasai sebaik sahaja petugas turun dari pesawat, di mana mereka terus dikawal ketat oleh pegawai bersenjata tanpa henti.

Lebih mendebarkan, ketika berurusan dengan pihak polis marin untuk ke Pulau Basilan dan Pulau Tawi-Tawi, mereka diwajibkan mengisi dokumen yang mengandungi gambar rajah tubuh manusia.

“Kita diminta untuk menandakan sebarang tanda lahir atau parut pada badan dalam gambar rajah tersebut. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk proses pengecaman jenazah jika berlaku insiden buruk.

“Akhirnya, kami tetap tidak dibenarkan masuk ke pulau-pulau berkenaan berikutan insiden pengeboman yang baru berlaku ketika itu,” jelasnya.

Cabaran berbeza pula dihadapi ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan etnik Rohingya di Sittwe (Arakan), Myanmar bersama seorang lagi aktivis, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Mereka dimaklumkan untuk tidak menonjolkan identiti sebagai seorang Muslim bagi mengelakkan risiko keselamatan.

“Bayangkan kami yang berhijab terpaksa memakai topi yang besar untuk menyembunyikan identiti. Namun, dengan izin Allah dan berkat doa, kami menjadi wanita Muslim berhijab pertama yang berjaya melepasi pemeriksaan imigresen di Sittwe sepanjang tempoh pergolakan itu.

“Malah, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) sendiri terkejut dan bertanya doa apa yang kami baca sehingga berjaya melepasi kawalan ketat tersebut. Selepas misi itu, akses untuk masuk ke sana telah ditutup sepenuhnya,” katanya.

Menyentuh krisis di Yaman, Norhafiza menyifatkan pengagihan bantuan di kawasan berhampiran sempadan Sanaa perlu dilakukan dengan sangat pantas.

“Bantuan terpaksa diedarkan dalam keadaan terkocoh-kocoh. Kami hanya ada tempoh sekitar 10 ke 15 minit sahaja di satu-satu lokasi kerana bimbang diserang hendap dari kawasan berbukit di sekeliling kami,” katanya.

Katanya, petugas juga berdepan cabaran birokrasi di mana terdapat lebih 50 sekatan jalan raya tentera di sepanjang perjalanan sejauh dua hingga tiga kilometer dari Seiyun ke Ma’rib.

Menurut beliau lagi, kenderaam dan dokumen mereka sering diperiksa dan digeledah, menjadikan kerjasama dengan penduduk tempatan amat penting bagi melancarkan urusan pergerakan.

Bagi misi bencana alam seperti gempa bumi di Lombok, Indonesia dan Turkiye, ujarnya, cabaran keselamatan beralih kepada struktur bangunan yang mendatangkan bahaya.

“Di Lombok, kami ditempatkan di sebuah rumah penginapan yang sudah retak teruk dan menanti masa untuk roboh, sampaikan tuan rumah sendiri takut dan tidur di dalam khemah di luar,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan, keadaan sama berlaku di Turkiye.

“Setiap kali melangkah masuk untuk tidur, kami perlu mengucap siap-siap kerana tidak tahu bila bangunan itu akan runtuh ketika kami sedang lena. Itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh ahli misi kemanusiaan.

“Sesetengah negara juga amat ketat, seperti kerajaan Indonesia yang tidak membenarkan sumbangan barangan terpakai dibawa masuk dari luar, sebaliknya mewajibkan hanya barangan baharu sahaja disumbangkan kepada mangsa bencana,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -