‘Malang buat Umno punya kawan sebegini’

Susulan DAPSY bidas Veteran Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir dan Low Lee Leong menyifatkan tindakan Pemuda DAP membidas Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub sebagai mencerminkan dominasi parti itu dalam kerajaan hari ini.
 
Mereka berkata, tindakan Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Ho Chi Yang yang meminta Mustapha supaya ‘diam daripada bercakap bukan-bukan’ cukup memalukan.
 
Ini kerana menurutnya, kenyataan tersebut seolah-olah menganggap tokoh veteran Umno berkenaan berada pada tahap bercakap bukan-bukan yang lazim dikaitkan dengan sindrom kemerosotan atau penurunan fungsi otak.
 
“Hari ini giliran Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub. Cukup memalukan apabila anak muda DAP berani ‘menunjal kepala’ orang tua Umno begitu sahaja,” tegas mereka.
 
Sebelum itu, Mustapha dilaporkan media tempatan mencadangkan supaya DAP segera keluar daripada kabinet tanpa perlu menunggu keputusan sidang kongres khas pada Julai depan susulan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
 
Tambah beliau lagi, sebelum ini DAP telah mengugut akan keluar kabinet jika kerajaan tidak iktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dalam tempoh 6 bulan.
 
Beliau turut dipetik sebagai berkata bahawa Veteran Umno yakin DAP mempunyai prinsip dan bermaruah serta adalah amat memalukan sekiranya parti itu tidak menunaikan kata-katanya.
 
Kenyataan itu kemudian disanggah Ho menerusi akaun media sosial miliknya dengan menulis bahawa sejak bila Setiausaha Veteran Umno bertanggungjawab terhadap urusan DAP.
 
Ho turut mengingatkan supaya tidak sibuk menjaga tepi kain orang dan lebih baik diam daripada bercakap bukan-bukan.
 
Hantaran berkenaan turut dimuat naik ke akaun media sosial DAPSY.
 
Walau bagaimanapun Roslan dan Lee Leong mengingatkan, bukan sekali Umno diherdik secara terbuka walaupun kedua-dua parti bersama mendukung kerajaan ‘perpaduan’ PH-BN.
 
“Dominasi kukuh DAP dalam kerajaan dengan 40 kerusi Parlimen meletakkan mereka berkuasa menerkam dan melutu mana-mana kawan yang dilihat nakal dan cuba-cuba mencuit parti mereka.
 
”Yang diterkam dan dilutu akhirnya tiada pilihan sekadar akur, diam dan terima hakikat bahawa dalam pakatan politik mereka, DAP lah yang paling berkuasa,” tempelak mereka. – HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -
- Advertisement -