HIAS 2.0: Melestarikan ‘Seni Berkiblat’

- Advertisement -

MUZIK bising kepala berdengung, percampuran lelaki dan wanita, budaya ini sering dikaitkan dengan seni. Sampai ke usus insan, seni sering dipotretkan sebagai negatif.

Ya benar! Kerana ada yang menjadikannya sebagai ‘wadah’ leka dan lagha, ada juga yang menjadikan ia sebagai ladang ‘populariti’ tanpa mengenal Ilahi.

Namun bagi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan (LESTARI) PAS Pusat, ia harus dititip dengan seni berkiblat, yang mana akhirnya wajah seni yang kabur dengan potret kelabu, diwajahkan dengan kiblat yang satu, apatah lagi ia harus digarab menjadi medium dakwah.

Penghibur Islam seperti Hasan Bin Thabit, Abdullah Abi Rawahah suatu masa dalam sirah Agung Rasulullah SAW, mereka menentang seni yang berdogma kotor dan melekakan.

Kerana sepatutnya seni dan hiburan ini menjadi wadah untuk mendekatkan manusia atau penggemar hiburan kepada Rabb Yang Esa dan berjalan menuju-Nya.

Bertitik tolak dari kesedaran dan kepentingan seni harus diwarnai dengan dakwah islami, Gerakan Islam PAS merintis jalan menghidupkan LESTARI sebagai ejen masyarakat membawa anak seni dengan kiblat Ilahi, dan melatari masyarakat dengan seni berjiwa islami.

Tahun lalu, program Himpunan Anak Seni (HIAS) telah dianjurkan LESTARI Pusat di Espira Resort Kinrara sebagai satu platform kepada anak seni berhimpun dan menggembleng akal budi membicarakan masa depan seni dan budaya di negara ini.

Kali ini, HIAS 2.0 sekali lagi akan beraksi dalam Ramadan ini dengan menghimpunkan lebih ramai anak seni pelbagai latar belakang pada 2 Mac ini bertempat di Restoran Pak Tam, Dataran Templer, Bandar Baru Selayang bermula jam 5 hingga 11 malam.

Ia satu program yang menghimpunkan anak anak seni, budayawan serta ilmuan  sekitar Lembah Klang serta memperkenalkan mereka dengan aktiviti LESTARI selain cakna kebajikan mereka.

Pengerusi LESTARI Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor melihat HIAS 2.0 juga untuk mengumpulkan semula anak-anak usrah yang terpencar-pencar akibat wabak Covid-19 yang melanda negara hampir dua tahun setengah.

Ujarnya, Usrah Muzika yang suatu masa lalu sangat aktif dipimpin oleh Almarhum Dato’ Dr Haron Din, Ustaz Dasuki Abd Rani, Ustaz Syed Kader Aljofree, Ustaz Nasrudin Hassan, serta asatizah berfikrah PAS, kini HIAS menjadi wadah pengganti medan pencambah minda anak seni.

Menjadikan Lembah Klang sebagai pangkalan untuk pertemuan anak- anak seni, kata Dr Riduan, ia wadah mengukuhkan sokongan mereka kepada harakatul ummah.

Pelbagai genre hiburan sama ada rock, nasyid, pop dan sebagainya diselitkan sebagai halwa telinga pada pertemuan kali ini dengan sasaran kapasiti peserta yang lebih besar berbanding tahun lepas.

Pertemuan kali ini bakal menampilkan beberapa artis yang suatu masa lalu terkenal di zaman mereka seperti Zuar XPDC; pelakon Adam Hamid; pendakwah bebas, Ustaz Halim Hafidz dan ramai lagi.

WAN NORDIN
Ahli Jawatankuasa LESTARI Pusat – HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -

- Advertisement -