Nada kita: Sebelum dan selepas keputusan Mahkamah Agung

- Advertisement -

SAYA betul-betul geram dan keliru mendengar jawapan Perdana Menteri ke-10 (PMX) terkait keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) dalam isu tarif, di dalam Parlimen pagi tadi.

Soalan yang ditanya berkenaan kesan keputusan Mahkamah Agung terhadap ART dijawab dengan nada, ‘tunggu dulu’, ‘kita pantau dulu’, ’pantau secara dekat’, ‘ini belum muktamad, dari segi ada kuasa-kuasa lain yg boleh digunakan oleh Trump’, ‘tak boleh gopoh’, ‘tak perlu tergesa-gesa’.

Ya, tak perlu tergesa-gesa!

- Advertisement -

Kemudian ditambah lagi, ‘perjanjian belum diratifikasi’, ‘belum muktamad’, ‘belum ada tarikh ratifikasi’. Seolah-olah satu kelegaan bahawa Perjanjian yang ditandatangani dahulu belum diratifikasi? Apa ini?

Sebelum tandatangan, nada Kerajaan jauh berbeza, ‘rundingan paling pantas’, ‘6 bulan’, ‘mesti tandatangan segera’, ‘jangan risau’, ‘tindakan bijak’, ‘PMX hebat mampu berunding dengan Trump’ bla bla bla. Sehingga draf perjanjian tidak sempat dibentang dalam Parlimen pun, dan analisis manfaat-kos tidak sempat dibuat pun. Pantas, segera, tidak perlu pantau dahulu.

Tengku Zafrul semalam berkata ‘kita sedia payung sebelum hujan’, ‘insuran’, ‘yang paling pantas akan berjaya’ bla bla bla.

Lain sekali nadanya. Lepas keputusan Mahkamah Agung, berubah terus nadanya.

Sesungguhnya, saya memang mengikuti rapat mengenai ART, dan betul-betul kecewa dengan cara Kerajaan menangani isu ini. Ini isu rakyat. Isu periuk nasi. Isu kedaulatan! Jangan sesekali diperenteng, dengan nada yang berubah-ubah.

Saya mencadangkan Kerajaan Malaysia keluarkan kenyataan tegas sekarang ini. Sebagaimana kita hormati kedaulatan undang-undang di Malaysia, kita juga harus hormatinya di AS. Terima keputusan itu, utus surat kepada ‘White House’ menyatakan pendirian terbaru Malaysia untuk tidak teruskan dengan ART.

Perdagangan kita dengan AS mesti kembali kepada perjanjian yang ada sebelum ini sahaja. Runding semula kalau perlu bersama negara ASEAN yang lain selepas ini dengan cara yang betul dan tidak tergesa-gesa.

Jadilah Kerajaan yang kamu mahu jadi dahulu.

DR YUSFARIZAL YUSSOFF
Ketua Penerangan
PAS Selangor – HARAKAHDAILY 24/2/2026

- Advertisement -