
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menghormati proses undang-undang sedang berjalan berhubung kes melibatkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kini berada pada peringkat pendakwaan dan perbicaraan di mahkamah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pentadbiran negeri komited mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang tanpa campur tangan dalam urusan perbicaraan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, setiap individu berhak mendapat perbicaraan adil dan tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah belum membuat sebarang keputusan.
“Kerajaan negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan. Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” katanya, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk Ahli MMKN berkenaan melepaskan jawatan ketika ini memandangkan kedudukannya dalam pentadbiran negeri tidak menjejaskan proses perundangan sedang berlangsung.
Dalam masa sama, beliau mengajak semua pihak supaya bertenang serta memberi ruang kepada sistem kehakiman melaksanakan tanggungjawab secara bebas dan profesional sehingga keputusan muktamad dicapai.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional. Semoga kita semua terus dipandu dalam melaksanakan amanah ini,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Ahli MMKN dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 15 Ogos 2018 di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexxe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang mempunyai dua isteri dan 13 anak didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anak kandungnya, pada 18 Jun 2020 di lokasi sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. – HARAKAHDAILY 24/2/2026











