Fiqh Puasa: Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka

- Advertisement -

Bermula setengah dari perkara yang membatalkan puasa itu ialah apabila seorang itu dengan sengaja memasukkan suatu ain ke dalam rongga badannya yang terbuka.

- Advertisement -

Menyebut oleh Dr Mustafa Al-Bugha:

والمقصود بالعين: أي شيء تراه العين

Ertinya: “Dan yang dimaksudkan dengan ain itu ialah suatu perkara yang dapat melihatnya oleh mata.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Dan batal puasanya sekalipun ain yang sengaja dimasukkan itu bersaiz kecil seperti setitis air atau sebiji nasi atau seumpamanya.

Menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili:

وصول شيء مادي (عين) إلى الجوف وإن قلت كسمسمة

Ertinya: “Dan sampai suatu ain kepada jauf (batin) itu membatalkan walaupun sedikit seperti hanya sekadar satu biji lenga.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Oleh kerana itu jika seorang itu menelan sisa makanan yang kecil yang ada pada celah giginya dengan sengaja maka batal puasanya.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin:

ولو بقي طعام بين أسنانه فجرى به ريقه من غير قصد لم يفطر إن عجز عن تمييزه ومجه، لأنه معذور فيه وغير مقصر، فإن لم يعجز أفطر لتقصيره

Ertinya: “Dan kalau tinggal sisa makanan di celah giginya lalu masuk ke dalam perutnya bersama air liurnya yang bukan bertujuan menelan sisa makanan itu maka tidaklah membatalkan puasa jika susah hendak memeliharanya dan meludahnya kerana sungguhnya ia diuzurkan padanya dan bukan sebab cuainya. Maka jika dia mampu membuangnya maka batal puasanya sebab kecuaiannya itu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Dan yang dimaksudkan dengan rongga terbuka ialah mulut dan lubang hidung dan lubang telinga dan kemaluan hadapan dan belakang.

Dan dua mata itu tidak termasuk dalam rongga badan yang terbuka.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin:

والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقبل والدبر من الذكر والأنثى

Ertinya: “Dan yang dimaksudkan dengan rongga yang terbuka itu ialah mulut dan telinga dan kemaluan hadapan dan kemaluan belakang daripada lelaki dan perempuan.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Maka adalah membatalkan puasa jika sengaja memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut sekalipun atas sebab tersangat lapar atau tersangat dahaga atau sebab berubat dan demikian juga batal sekalipun dimasukkan akan suatu yang bukan bahan makanan ke dalam perutnya.

Berkata Imam As-Syairazi:

ولا فرق بين أن يأكل ما يؤكل أو ما لا يؤكل فان استف تراباً وابتلع حصاة أو درهماً أو ديناراً بطل صومه لأن الصوم هو الإمساك عن كل ما يصل إلى الجوف

Ertinya: “Dan tiada bezanya antara benda yang dimakan dengan benda yang tidak dimakan. Maka jika menelan seorang akan tanah atau batu atau dirham atau dinar maka batal puasanya kerana sungguhnya puasa itu ialah menahan dari segala suatu dari masuk ke dalam perut.” (Kitab Al-Muhazzab)

Dan adapun had yang membatalkan puasa apabila sengaja memasukkan suatu ke dalam rongga-rongga tersebut ialah melepasi had batinnya.

Maka had yang batin bagi hidung ialah kawasan dalam hidung yang jauh yang tidak sampai jari manusia jika dimasukkan padanya.

Oleh kerana itu seorang yang memasukkan jarinya ke dalam kelopak hidungnya kerana membersihkan kotorannya maka tidaklah membatalkan puasa kerana tidak sampai kepada bahagian yang membatalkan puasa tetapi ulamak memakruhkan masukkan jari ke dalam lubang hidung tanpa hajat.

Adapun memasukkan ubat dari hidung jika ubat hanya berada di dalam kelopak hidung maka tidak mengapa tetapi jika disedut atau masuk ubat sampai kepada had yang batin maka ia membatalkan puasa.

Ini adalah kerana dikiaskan tidak batalnya seorang yang berwuduk lalu ia berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung kerana keduanya adalah termasuk sunat-sunat wuduk.

Diriwayatkan daripada ‘Asim bin Laqith daripada bapanya berkata: Bersabda oleh Rasulullah sollalahu alaihi wasallam:

أَسْبِغِ الْوُضُوءَ وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ وَبَالِغْ فِى الاِسْتِنْشَاقِ إِلاَّ أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Ertinya: “Ratakan akan wuduk dan gosok celah-celah jari dan bersungguh ketika masukkan air ke hidung melainkan kamu sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah dan An-Nasaai)

Oleh itu jika tidak bersungguh memasukkan air ke hidung ketika wuduk tiba-tiba termasuk juga sedikit air wuduk itu kepada had yang batin maka tidaklah membatalkan puasa. Yang membatalkan puasa ialah berlebih-lebihan memasukkan air ke hidung lalu melepasi had batin kerana larangan Rasulullah sollalahu alahi wasalam pada hadis tersebut.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

وَلَو سبق مَاء الْمَضْمَضَة أَو الِاسْتِنْشَاق إِلَى جَوْفه نظر إِن بَالغ أفطر وَإِلَّا فَلَا

Ertinya: “Dan jikalau terlepas masuk air ketika berkumur dan memasukkan air ke hidung ketika wuduk sampai ke dalam perutnya maka jika dia berlebih-lebihan (ketika masukkan air ke hidung) nescaya batal dan jika tidak berlebihan maka dimaafkan tidak batal puasanya.” (Kitab Al-Iqna’)

Dan sebahagian fuqahak berkata adalah had batal memasukkan suatu melalui lubang hidung itu ialah sampai ke otak atau sampai ke kerongkong.

Had yang batin bagi telinga ialah melepasi gegendang telinga kerana ia sudah sampai ke otak. Oleh itu tidak batal mengorek telinga dengan umpama jari atau kapas kerana kawasan yang biasanya dikorek ialah bukan bahagian batin tetapi hanya lubang sebelah luar.

Adapun memasukkan melalui telinga akan air atau ubat misalnya lalu sampai masuk ke otak atau had yang batin maka ia membatalkan puasa.

Berkata Imam As-Syairazi:

إذا وصل إلى الدماغ شيء بطل صومه ولأن الدماغ أحد الجوفين فبطل الصوم بالواصل إليه كالبطن

Ertinya: “Apabila masuk suatu ain sampai ke otak maka batal puasanya kerana bahawasanya otak itu adalah salah satu daripada jauf maka batal puasa sebab sampai kepada otak sama seperti perut.” (Kitab Al-Muhazzab)

Adapun mata maka bukanlah ia termasuk rongga yang terbuka. Oleh itu tidak membatalkan memasukkan ubat seperti cecair ke dalam mata akan tetapi jika selepas dimasukkan ubat pada mata lalu terasa ubat itu pada tekaknya makan janganlah ia menelannya kerana menelannya akan membatalkan puasa.

Had batin bagi dubur pula ialah kawasan yang tidak terbuka ketika mengeluarkan najis dan had batin bagi faraj wanita ialah kawasan yang sebelah dalam yang hanya sampai kepadanya oleh zakar.

Maka sengaja memasukkan sesuatu kepadanya adalah membatalkan puasa sekalipun atas jalan berubat.

Dan sebahagian ulamak mutaakhirin mengharuskan memasukkan ubat melaui rongga badan terbuka seperti melalui suntikan kerana ia tidak tergolong dalam ertikata makan dan minum.

Dan adapun menyuntik ubat melalui kulit bukan melalui rongga terbuka itu tidak membatalkan puasa.

Berkata Mufti Mesir Dr Ali Jumaah:

ومن هذا يُعلَم أن الحقنة تحت الجلد لا تفسد الصوم باتفاق المذاهب الأربعة

Ertinya: “Dan daripada ini dapat diketahui bahawasanya suntikan di bawah kulit tidak membatalkan puasa dengan sepakat mazhab yang empat.” (Darul Ifta Mesir)

Memasukkan bahagian buasir yang terkeluar dari dubur tidak membatalkan puasa.

Jika seorang yang mandi atau berenang lalu termasuk air ke dalam telinganya maka jika bukan dengan bersungguh-sungguh mandinya itu maka dimaaf iaitu tidak membatalkan puasa.

Begitu juga dengan menyelam jika seorang itu sudah tahu apabila dia menyelam akan masuk air ke dalam rongga badannya maka batal puasanya jika dia menyelam dan masuk air.

Dan jika pasti air tidak masuk ke dalam rongga badannya jika dia menyelam maka makruh dia menyelam tanpa hajat.

Contoh rawatan yang tidak membatalkan puasa

Ubat yang disapu pada bahagian luar tubuh seperti kulit atau rawatan dengan kaedah tampalan dan balutan.

Ubat titis seperti titis pada mata atau telinga atau hidung yang tidak masuk sampai ke dalam had yang batin.

Ubat jenis kumuran atau semburan mulut (oral spray) yang tidak ditelan.

Mencabut gigi atau membersihkan gigi atau menampal gigi berlubang atau menanam gigi.

Suntikan pada kulit seperti lengan atau paha atau punggung atau seumpamanya yang bukan pada rongga yang terbuka kerana ubat tersebut tidak masuk ke dalam mana-mana rongga terbuka melainkan hanya di bawah kulit sahaja.

Suntikan insulin yang dilakukan melalui lapisan kulit.

Pemindahan darah atau membersih darah atau pengambilan contoh darah.

Memasukan tiub melalui salur darah.

Ubat jenis sembur yang tidak ditelan.

Ubat yang diletakkan di bawah lidah yang tidak masuk ke dalam kerongkong.

Bius melalui suntikan kerana pembedahan.

Contoh rawatan yang membatalkan puasa

Menelan ubat sama ada pil atau cecair.

Memasukkan umpama tiub melalui kerongkong.

Menyedut inhaler iaitu ubat bagi orang yang sakit asma kerana ia adalah cecair yang akan sampai kepada paru-paru melebihi had kerongkong. Dan sebab batal puasa menyedut inhaler ini ialah kerana menurut pakar perubatan lebih kurang 75 hingga 80 peratus gas akan masuk ke dalam paru-paru manakala selebihnya keluar semula melalui hembusan nafas.

Memasukkan tiub atau ubat melalui lubang kemaluan lelaki.

Memasukkkan tiub atau teropong atau alat melalui faraj wanita melepasi had batin.

Memasukkan suatu alat atau ubat ke dalam dubur.

Menyebut oleh Dr Mustafa Al-Bugha:

ما وصل عمدا إلى الجوف أو الرأس والحقنة في أحد السبيلين

Ertinya: “Dan (termasuk membatalkan puasa) barang yang sampai dengan sengaja kepada perut atau otak dan suntikan pada salah satu dari dua kemaluan.” (Kitab At-Tazhib Fi Adillah Matan Al-Ghayah Wa At-Taqrib)

Tidak sengaja masuk sesuatu

Dan yang jadi batal puasa sebab memasukkan suatu ain ke dalam rongga terbuka itu ialah dengan sengajakannya.

Maka jika tidak disengajakan seperti seorang dengan tidak sengaja memasukkan suatu ke dalam lubang telinganya sehingga sampai melepasi gegendang telinga maka tidak batal puasanya kerana dikiaskan dengan tidak sengaja makan dan minum.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin:

وهذا كله أيضا بشرط التعمد، فإن فعل شيئاً من ذلك ناسياً لم يضر قياساً على الطعام والشراب

Ertinya: “Dan sekalian ini adalah disyaratkan dengan sengaja. Maka jika seorang melakukan suatu dari yang demikian itu kerana terlupa maka tidaklah memudaratkan puasanya kerana dikiaskan atas makan dan minum.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Dan begitu juga tidak membatalkan puasa jika termasuk umpama serangga atau tanah yang diterbangkan oleh angin ke dalam mulut seseorang lalu sampai ia ke perutnya kerana tiada disengajakannya.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin

ولو وصل جوفه ذباب أو بعوضة، أو غبار الطريق لم يفطر أيضاً، لما في الاحتراز عن ذلك من المشقة الشديدة

Ertinya: “Dan kalau sampai ke batin perutnya lalat atau nyamuk atau debu tanah jalanan maka tidak membatalkan puasanya juga kerana sangat sukar memelihara dari berlaku yang demikian itu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Dan tidak batal puasa seorang yang dipaksa memasukkan suatu ke dalam rongganya.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -