
RIYADH: Arab Saudi mengecam keras kenyataan yang dibuat oleh duta AS ke Israel yang mencadangkan bahawa kawalan Israel ke atas seluruh Timur Tengah boleh diterima, menyifatkan komen tersebut sebagai melulu dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Utusan Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, sebelum ini pada Ahad berkata, ia sesuatu yang boleh diterima jika Israel mengambil alih seluruh Timur Tengah, termasuk Tebing Barat.
Sehubungan itu dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar Negeri Saudi berkata ia ‘mengecam sekeras-kerasnya’ komen tersebut, menolak apa yang digambarkannya sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab yang melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan norma diplomatik yang ditetapkan.
Tambah Kementerian tersebut, Huckabee telah membuat kenyataan yang berbahaya, terutamanya kerana ia datang daripada seorang pegawai AS, dan merupakan satu pengabaian terhadap hubungan antara AS dan negara-negara di seluruh rantau ini.
“Pendirian sedemikian membawa akibat yang serius dan mengancam keamanan dan keselamatan global dengan menghasut permusuhan terhadap rakyat dan negara di Timur Tengah, menjejaskan asas tatanan antarabangsa berdasarkan penghormatan terhadap kedaulatan dan sempadan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” tegas kenyataan itu.
Arab Saudi justeru menggesa Jabatan Negara AS untuk menjelaskan pendiriannya mengenai kenyataan tersebut, dengan menekankan bahawa cadangan itu ditolak oleh negara-negara yang cintakan keamanan di seluruh dunia.
“Arab Saudi dengan tegasnya menentang sebarang tindakan atau kenyataan yang melanggar kedaulatan, sempadan atau integriti wilayah negara-negara.
“Keamanan yang adil dan menyeluruh hanya boleh dicapai dengan menamatkan pendudukan dan melaksanakan penyelesaian dua negara,” tambah kenyataan berkenaan.
Penyelesaian itu, kata kenyataan itu lagi, mesti merangkumi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka di sepanjang sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – HARAKAHDAILY 24/2/2026











