
TREND normalisasi Israel semakin ketara di Asia Tenggara. Ia tidak lagi berlaku secara terbuka, tetapi melalui tekanan ekonomi, kerjasama strategik dan pembentukan naratif baharu dalam kalangan umat Islam sendiri.
Istilah Muslim Zionis bukan sekadar retorik, sebaliknya merujuk kepada usaha halus untuk menormalisasikan penerimaan terhadap agenda Zionis dalam pemikiran umat.
Umat masih tidak sedar
Di Indonesia, penyertaan dalam Board of Peace serta penglibatan dalam struktur International Stabilization Force (ISF) perlu dilihat dalam kerangka geopolitik yang lebih luas.
Pada 19 Februari 2026, Presiden Prabowo Subianto dan Presiden Amerika Syarikat telah menandatangani Agreement on Reciprocal Trade yang menurunkan tarif eksport Indonesia.
Dalam masa yang sama, Indonesia turut dikaitkan dengan komitmen sumbangan besar kepada Board of Peace yang dilancarkan di Davos bagi mengurus pembinaan semula Gaza.
Persoalan utama masih belum terjawab.
Siapakah yang mengawal hala tuju pembangunan Gaza? Dari manakah sumber dana sebenar? Adakah mekanisme ini bertujuan menegakkan keadilan, atau sekadar mengurus kesan kemusnahan tanpa mempersoalkan punca penjajahan?
Penjenayah menjerit ‘penjenayah’
Struktur ISF diterajui oleh Jasper Jeffers, wakil Amerika Syarikat dan berkoordinasi rapat dengan Israel, dengan objektif yang dilaporkan untuk mendemilitarisasi HAMAS.
Inilah matlamat utama mereka, iaitu menghapuskan sepenuhnya kekuatan para pejuang setelah mereka berjaya melemahkan kekuatan di wilayah Axis of Resistance.
Hakikatnya, kerangka seperti ini membawa implikasi politik yang besar dan boleh mewujudkan persepsi bahawa negara terlibat sedang menyebelahi satu pihak dalam konflik yang belum diselesaikan secara adil.
Pada masa yang sama, realiti di Palestin menunjukkan kekejaman masih berlaku. Sekatan ke atas umat Islam di Masjid al-Aqsa diperketat, bilangan jemaah dihadkan dan pelbagai sekatan dikenakan, di samping serangan yang tidak pernah berhenti.
Realiti ini menunjukkan bahawa penindasan masih berterusan!
Jangan kita alpa
Walaupun solidariti seperti Sumud Nusantara menunjukkan keberanian rakyat Malaysia, di rantau ini mula muncul wacana normalisasi atas nama keamanan dan pembangunan semula.
Lebih membimbangkan ialah pembentukan naratif Muslim Zionis.
Antara asasnya ialah penyelewengan konsep agama samawi sehingga tuntutan politik Zionis dianggap sebagai kesinambungan sejarah agama.
Selain itu, penerimaan naratif Barat mengenai ekstremisme menyebabkan perjuangan mempertahankan hak tanah air dilabel sebagai keganasan, manakala penjajahan dan pencerobohan pula dianggap sebagai hak asasi.
*Dengan insiden binaan haram yang berlaku kebelakangan ini, ia semakin terang benderang bukan?
Di Malaysia, polemik berkaitan kewujudan organisasi yang cenderung kepada Kristian Zionisme seperti pendedahan International Christian Embassy Jerusalem yang pernah timbul.
Persoalannya, sejauh mana kita peka terhadap jaringan yang membentuk sokongan moral dan kewangan kepada rejim Israel melalui saluran tidak rasmi.
Peringatan wahyu yang dilupakan umat
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 51–52 telah mengingatkan agar umat Islam tidak memberikan kesetiaan politik atau strategik yang boleh menjejaskan kepentingan agama dan kekuatan umat.
Mengenai ayat ini, Tafsir Fi Zhilal al-Quran menyebutkan:
إن المسلم مطالب بالسماحة مع أهل الكتاب ، ولكنه منهي عن الولاء لهم بمعنى التناصر والتحالف معهم . وإن طريقه لتمكين دينه وتحقيق نظامه المتفرد لا يمكن أن يلتقي مع طريق أهل الكتاب ، ومهما أبدى لهم من السماحة والمودة فإن هذا لن يبلغ أن يرضوا له البقاء على دينه وتحقيق نظامه ، ولن يكفهم عن موالاة بعضه لبعض في حربه والكيد له.
Sayyid Qutb (رحمه الله) telah menjelaskan bahawa walaupun Islam menggalakkan hubungan baik dan toleransi dengan Ahli Kitab, umat Islam dilarang membentuk pakatan yang boleh melemahkan kemandirian politik, sosial dan peradaban mereka. Setiap bentuk kerjasama mesti dinilai secara berhati-hati agar tidak membawa kepada kebergantungan atau dominasi pihak lain.
Keputusan mesti berasaskan prinsip
Malaysia dan negara Asia Tenggara perlu berwaspada.
Setiap dasar luar mesti berasaskan kepentingan nasional jangka panjang, prinsip keadilan sejagat dan konsistensi dalam membela Palestin.
Pendekatan tergesa-gesa tanpa penilaian strategik hanya akan mengheret negara ke dalam percaturan kuasa besar.
Pengalaman perjanjian ekonomi ART (Malaysia-US) yang akhirnya diakui oleh Menteri sebagai berat sebelah menunjukkan bahawa tekanan geopolitik boleh memberi kesan kepada kedaulatan negara.
Perlu difahami, normalisasi bukan sekadar hubungan diplomatik. Ia adalah proses membiasakan hati umat dengan kezaliman sehingga sensitiviti terhadap penjajahan semakin pudar.
Isu ini bukan sekadar persoalan politik. Ia menyentuh soal prinsip, maruah dan masa depan umat.
وبه نستعين على أمور الدنيا والدين
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
21 Februari 2026 | 3 Ramadan 1447H – HARAKAHDAILY 21/2/2026
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1S9d9tfoA5/
Bacaan Tambahan:
[1] Indonesia to take deputy commander role in Gaza peacekeeping force: US general
https://www.channelnewsasia.com/asia/indonesia-gaza-isf-deputy-commander-peacekeeping-force-board-peace-5942141
[2] Prabowo Usai RI Gabung Dewan Perdamaian: Penderitaan Rakyat Gaza Berkurang https://news.detik.com/berita/d-8320335/prabowo-usai-ri-gabung-dewan-perdamaian-penderitaan-rakyat-gaza-berkurang
[4] Menteri MITI mengakui bahawa kerajaan sedang cuba pinda beberapa artikel di dalam ART
https://www.facebook.com/share/r/188ACdReEh/
[5] ICEJ Malaysia
https://www.facebook.com/share/p/1Nk1TzGKm9/
[6] Eksistensi Muslim Zionis
https://www.facebook.com/share/1DKNGJP3Yc/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











