
KUALA LUMPUR: Sama ada peperangan tercetus atau tidak bergantung kepada sejauh mana pengaruh lobi Zionis menekan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk melancarkan perang ke atas Republik Islam Iran.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sikap Yahudi sudah didedahkan dalam al-Quran sejak 1,400 tahun lalu sebagai kaum yang pengecut dan sentiasa mencipta peperangan dengan menggunakan pihak lain bagi mencapai cita-cita mereka.
“Dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua, gerakan Zionis mempergunakan Imperialisma Barat bagi mencapai cita-cita mereka sehingga berjaya merampas Palestin dan menubuhkan negara haram Israel di bumi Palestin.
“Kali ini mereka mempergunakan Amerika Syarikat yang berada pada tahap yang kritikal khususnya krisis kepimpinan yang melanda ekoran pendedahan fail Jeffery Epstein yang juga melibatkan Donald Trump,” ujarnya dalam kenyataan.
Menurut beliau, fasa berikutnya yang sedang berlangsung ialah meluaskan wilayah negara haram Israel selari dengan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengisytiharkan agenda Israel Raya.
“Mudah-mudahan konflik yang berlangsung menjadi asbab penyatuan umat Islam tanpa mengira mazhab dan jalur pemikiran.
“Marilah bersama-sama kita berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini agar Allah menggagalkan perancangan musuh-musuh Islam.
“Yakinlah bahawa Allah SWT pasti bersama dengan orang beriman dan akan memberikan kemenangan kepada mereka,” tegasnya.
Perkembangan rundingan
Mengulas perkembangan rundingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata perundingan fasa kedua antara Republik Islam Iran dan Amerika Syarikat baru sahaja berakhir di Geneva, Switzerland.
Sebelum perundingan bermula, jelasnya, Amerika Syarikat meletakkan tiga syarat utama iaitu menamatkan program nuklear, menghentikan teknologi roket dan memutuskan rangkaian proksi khususnya kumpulan yang mendukung perjuangan pembebasan Palestin.
Bagaimanapun terangnya, Republik Islam Iran menegaskan mereka hanya akan berunding untuk mengurangkan proses pengkayaan uranium sahaja, manakala dua topik lain tidak akan dibincangkan sama sekali.
Beliau berkata, walaupun proses perundingan berjalan, ia seolah-olah meletakkan ‘pisau di leher’ kerana semua syarat yang dikemukakan adalah tali hayat Republik Islam Iran dan agak mustahil untuk diterima Iran.
“Buat masa ini, pintu rundingan dijangka akan menemui jalan buntu. Kedua-dua negara bersiap siaga dari sudut ketenteraan bagi menghadapi senario peperangan,” ulasnya.
Menurutnya, ketika ini Amerika Syarikat mengerahkan ketumbukan tentera terdiri daripada pelbagai jenis armada laut dan berpuluh jet pejuang canggih seperti F-22, F-35 dan B-2 serta aset ketenteraan terkini.
Beliau berkata, negara haram Israel turut meletakkan tenteranya dalam keadaan bersiap siaga dan akan menyertai serangan ke atas Republik Islam Iran jika Trump memutuskan untuk berbuat demikian.
Katanya, Republik Islam Iran belajar daripada pengalaman lalu apabila dikhianati oleh Amerika Syarikat ketika perundingan sedang berjalan dan kini berada pada tahap kesiapsiagaan paling maksimum dari sudut politik, ekonomi dan ketenteraan.
Dari sudut politik dalaman, ulasnya, Republik Islam Iran membentuk kabinet perang dengan meletakkan beberapa individu penting pada posisi strategik.
“Ali Syamakhani dilantik sebagai penasihat pertahanan kepada Ayatollah Ali Khameni, beliau adalah tokoh penting di belakang tabir kejayaan Republik Islam Iran membina sistem pertahanan ke tahap sekarang ini.
“Mengikut beberapa penganalisa politik, posisi terkini beliau adalah satu langkah bagi mengisi kekosongan sekiranya pemimpin utama Republik Islam Iran terbunuh,” jelas beliau.
Sementara itu katanya, Ali Larijani dilantik sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Republik Islam Iran yang berperanan menyelaras antara tentera negara itu dan Tentera Pengawal Revolusi Republik Islam Iran (IRGC).
Menurut beliau, kedua-dua individu berkenaan menjadi sasaran utama serangan rejim penjajah Zionis Israel dalam serangannya ke atas Republik Islam Iran pada Jun 2025.
Dari sudut ketenteraan, katanya, Republik Islam Iran mengadakan latihan bersama Rusia dan China serta mengisytiharkan bahawa sebahagian Teluk Parsi ditutup.
“Ayatollah Ali Khamenei menegaskan dalam kenyataan balasnya ke atas Donald Trump, ‘bukan armada tentera laut Amerika Syarikat yang perlu ditakuti, sebaliknya yang perlu dibimbangi ialah roket-roket Republik Islam Iran yang akan menenggelamkan kapal-kapal perang Amerika Syarikat di Laut Parsi’” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2026











