
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan kadar inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks mencatatkan peningkatan sebanyak 135.7 berbanding 133.6 pada tempoh sama tahun sebelumnya, dengan negeri Kelantan mencatat Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.3 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Uzir Mahidin berkata, faktor kenaikan tersebut disebabkan peningkatan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan, pendidikan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan rekreasi, sukan dan kebudayaan.
Menurutnya, kedua-dua kumpulan minuman beralkohol dan tembakau meningkat 2.5 peratus, manakala makanan dan minuman meningkat 1.5 peratus, sama seperti yang direkodkan pada Disember 2025.
“Peningkatan perlahan bagi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan sebanyak 5.5 peratus berbanding 5.6 peratus pada bulan sebelumnya; manakala, restoran dan perkhidmatan penginapan merekodkan 3.0 peratus berbanding 3.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara katanya lagi, kesihatan mencatat 1.4 peratus, maklumat dan komunikasi pula (0.7 peratus), manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.2 peratus) yang sededikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.
Tambah beliau, inflasi bagi kumpulan pakaian dan kasut kekal tidak berubah berbanding tahun sebelumnya pada paras 0.1 peratus.
“Inflasi pengangkutan pula mencatatkan trend menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Januari 2026, berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan tiga negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional iaitu Johor (2.1 peratus), diikuti Negeri Sembilan (2.0 peratus) dan Pahang (1.9 peratus).
“Dalam masa sama, baki 13 negeri lain mencatatkan peningkatan di bawah atau sama dengan kadar inflasi nasional, dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.3 peratus,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2026











