SPRM siasat Kementerian Ekonomi: ‘Azam Baki, PMX perlu berundur’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menyiasat Kementerian Ekonomi Malaysia, sambil menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, supaya berundur bagi memastikan siasatan dilihat telus.

- Advertisement -

Beliau berkata, gesaan itu dibuat susulan persepsi yang timbul dalam kalangan rakyat mengenai masa siasatan tersebut, yang didakwa berlaku selepas Menteri Ekonomi ketika itu, Rafizi Ramli, mengkritik Azam Baki dan menuntut beliau meletakkan jawatan.

Menurut Ahmad Fadhli, persoalan utama ialah mengapa siasatan tidak dilakukan sejurus selepas kontrak tersebut ditandatangani, sebaliknya hanya berlaku kemudian.

“Apa fungsi pegawai SPRM yang ditempatkan di setiap agensi sekiranya perkara seperti ini tidak dapat dikesan lebih awal?

“Jika alasan diberikan kerana tiada aduan, maka peranan pemantauan oleh pegawai SPRM di agensi kerajaan perlu dipersoalkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa SPRM sedang menyiasat kementerian berkenaan berhubung isu kontrak yang didakwa telah ditandatangani secara tergesa-gesa.

Ahmad Fadhli juga menegaskan Azam Baki kini berdepan persepsi dan tuduhan serius daripada pihak tertentu, termasuk dakwaan bahawa SPRM menjadi alat kepada mafia korporat untuk mengambil alih syarikat yang menjadi sasaran kumpulan tertentu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Azam Baki perlu berehat atau berundur, meletakkan jawatan sementara waktu bagi memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara bebas dan tanpa sebarang keraguan.

“Langkah ini penting supaya siasatan bukan sahaja telus, tetapi juga dilihat telus oleh rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa persepsi awam mengaitkan siasatan tersebut dengan pendirian kritikal Rafizi terhadap Azam Baki sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebebasan institusi penguatkuasaan.

Ahmad Fadhli juga menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX), supaya berundur sebagai langkah memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara dapat dipulihkan.

“Kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang mesti dipelihara melalui tindakan yang tegas, bebas dan telus,” katanya.

Terdahulu, semalam media melaporkan bahawa SPRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Laporan itu yang memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa aduan yang diterima mendakwa perjanjian tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.

Tambah laporan tersebut lagi, berdasarkan dokumen yang diserahkan oleh beberapa pihak, SPRM telah mendapatkan dokumen berkaitan perjanjian itu daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari 2026.

“Kes ini berkaitan dengan isu ketirisan dana kerajaan melibatkan peruntukan besar iaitu RM1.1 bilion.

“Berdasarkan maklumat awal, cadangan ini dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), namun perjanjian dimeterai secara tergesa-gesa.

“Perkara ini akan disahkan melalui keterangan saksi-saksi utama yang terlibat,” kata sumber tersebut.

Sumber yang sama turut memaklumkan bahawa beberapa individu didakwa diberikan jawatan tinggi dalam syarikat berkenaan selepas meninggalkan kementerian terlibat, sekali gus menimbulkan persoalan konflik kepentingan.

“Tindakan lanjut termasuk memanggil beberapa saksi, antaranya Ketua Setiausaha Kementerian bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian ini,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi pihak media mengesahkan siasatan berkenaan telah dibuka, namun enggan mengulas lanjut. – HARAKAHDAILY 17/2/2026

- Advertisement -