
MARANG: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Peringkat Kawasan Marang dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis penuh muhibah di Dataran Taman Rekreasi Madani, Taman Raya Wakaf Tapai, di sini, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, program yang dianjurkan Lajnah Perpaduan Nasional bersama Pusat Khidmat Masyarakat kawasannya itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kaum serta memperluas peranan DHPP sebagai wadah penyatuan masyarakat bukan Islam bersama PAS.
“Saya menghargai kesungguhan DHPP dalam memainkan peranan sebagai jambatan persefahaman antara komuniti serta memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di negeri Terengganu, khususnya di kawasan Marang,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian tersebut.
Beliau berkata, peranan DHPP bukan sekadar penyertaan dalam ruang politik, bahkan berfungsi sebagai platform penting dalam membina hubungan yang saling menghormati, memahami sensitiviti budaya dan agama, serta menyuburkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.
Turut hadir Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Khishnan.
Balachandran menyatakan komitmen berterusan untuk memperkasa gerak kerja DHPP di seluruh negara melalui pendekatan dialog, kebajikan dan program kemasyarakatan.
Beliau menyatakan, pendekatan berteraskan kebersamaan mampu merapatkan hubungan antara kaum serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan DHPP.
“Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam program ini menggambarkan penerimaan yang semakin positif terhadap peranan DHPP sebagai wadah penyatuan dan keharmonian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pelancaran itu menjadi pemangkin kepada komitmen berterusan organisasi berkenaan dalam memperkasa peranannya sebagai penghubung antara komuniti.
“Saya berharap organisasi ini akan terus komited memperkasa peranannya sebagai penghubung antara komuniti, menyemai semangat saling menghormati serta menyuburkan keharmonian dalam masyarakat.
“Perpaduan yang terjalin diharap terus kukuh, silaturahim semakin erat dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat sentiasa terpelihara demi kesejahteraan negeri dan negara,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan program agihan limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 sebagai simbol semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. – HARAKAHDAILY 17/2/2026











