
RANTAU PANJANG: Negara memerlukan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi turut memiliki integriti dan jiwa yang besar bagi memastikan masa depan negara terus terpelihara.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, golongan muda perlu dibentuk dengan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembinaan akhlak serta nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
“Negara memerlukan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi turut mempunyai integriti dan jiwa yang besar,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tionghua di Malaysia.
Menurutnya, dalam dunia yang semakin mencabar, kejayaan tidak hanya bergantung kepada pencapaian pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan disiplin diri, sikap menghormati ibu bapa serta semangat perpaduan sesama rakyat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap masyarakat Tionghua yang sentiasa berusaha membina masa depan lebih baik, khususnya dalam kalangan generasi muda yang menjadikan ilmu sebagai asas kejayaan.
Tambahnya, semangat rajin berusaha dan menuntut ilmu perlu terus diperkukuhkan agar dapat melahirkan masyarakat yang seimbang serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Semoga tahun kuda pada tahun ini membawa kejayaan, kesejahteraan dan masa depan yang lebih gemilang buat semua. Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le!,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2026











