
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu, khususnya berkaitan pencalonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, manifesto PH menyatakan bahawa pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan.
Beliau yang memetik manifesto PH menjelaskan bahawa langkah itu bertujuan menjamin pelantikan calon yang neutral tanpa memihak mana-mana pihak.
“Adalah lebih baik tumpukan dulu kepada pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan sendiri… Inipun tidak akan dilaksanakan kerana kerajaan banyak bergantung talian hayat dengan individu-individu yang tiba-tiba kaya dengan luar biasa,” katanya dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas bagi memantau tindakan penguatkuasaan SPRM, yang menurutnya perlu menjawab terus kepada Parlimen.
Ahmad Fadhli juga menegaskan, cadangan tersebut hanya akan menambahkan birokrasi dan prosedur yang tidak perlu, malah yakin kerajaan tidak akan melaksanakannya.
“Cadangan Timbalan Presiden PKR ini hanya akan berlalu begitu sahaja,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas.
Terdahulu media tempatan melaporkan Nurul Izzah mencadangkan perkara tersebut bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berlandaskan bukti dan proses yang betul.
Beliau menegaskan bahawa kuasa besar SPRM perlu dipertanggungjawabkan untuk mengelak salah guna, termasuk dalam kes pembekuan aset atau siasatan rasuah.
Cadangan itu katanya bertujuan menegakkan keadilan tanpa pilih kasih dan memastikan institusi antirasuah kekal sah dan dipercayai oleh rakyat. – HARAKAHDAILY 10/2/2026











