
WASHINGTON: Pasukan tentera Amerika Syarikat telah menyerbu kapal tangki minyak yang disekat di Lautan Hindi pada 9 Februari 2026 selepas mengesan kapal tersebut dari Laut Caribbean.
Pentagon dalam kenyataannya di media sosial pada Isnin bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kapal yang dikenalpasti sebagai Aquila II itu ada kaitan dengan Venezuela, yang menghadapi sekatan AS ke atas minyaknya dan bergantung pada armada bayangan kapal tangki yang dilabel palsu untuk menyeludup minyak mentah ke dalam rantaian bekalan global.
Mengulas perkara tersebut ialah pengasas bersama TankerTrackers.com, Samir Madani yang berkata, Aquila II adalah salah satu daripada sekurang-kurangnya 16 kapal tangki yang berlepas dari pantai Venezuela bulan lalu selepas pasukan AS menangkap Presiden negara tersebut ketika itu, Nicolás Maduro.
Madani mendakwa organisasinya menggunakan imej satelit dan foto paras permukaan untuk mendokumentasikan pergerakan kapal.
“Menurut data yang dihantar dari kapal pada Isnin, ia tidak sarat dengan kargo minyak mentah,” tegas Madani.
Aquila II ialah kapal tangki berbendera Panama di bawah sekatan AS yang berkaitan dengan penghantaran minyak haram Rusia.
Ia dimiliki oleh sebuah syarikat dengan alamat tersenarai di Hong Kong, data pengesanan kapal menunjukkan ia telah menghabiskan sebahagian besar tahun lalu dengan transponder radionya dimatikan, satu amalan yang dikenali sebagai ‘running dark, istilah yang biasa digunakan oleh penyeludup untuk menyembunyikan lokasi mereka.
Sementara Komando Selatan AS, yang menyelia Amerika Latin, berkata dalam e-mel bahawa ia tidak mempunyai apa-apa untuk ditambah kepada catatan Pentagon di X.
Catatan itu menyatakan bahawa tentera ‘telah menjalankan sekatan maritim hak lawatan’ ke atas kapal berkenaan.
“Aquila II beroperasi menentang kuarantin yang ditetapkan oleh Presiden Trump terhadap kapal yang disekat di Caribbean. Ia melarikan diri dan kami mengekorinya,” tambah catatan berkenaan.
AS dalam kenyataan melalui Pentangon juga tidak menyatakan bahawa ia telah merampas kapal itu, yang telah dilakukan AS sebelum ini terhadap sekurang-kurangnya tujuh kapal tangki minyak lain yang disekat, yang dikaitkan dengan Venezuela.
Dalam video yang disiarkan oleh Pentagon ke media sosial, pasukan beruniform dilihat menaiki helikopter Tentera Laut yang berlepas dari kapal yang sepadan dengan profil Aquila II.
Video dan gambar kapal tangki yang dirakam dari dalam helikopter juga menunjukkan sebuah kapal pemusnah Tentera Laut belayar di sebelah kapal tersebut.
Sejak penggulingan Maduro oleh AS dalam serbuan malam yang mengejut pada 3 Januari 2026, pentadbiran Trump telah menetapkan untuk mengawal pengeluaran, penapisan dan pengedaran global produk petroleum Venezuela.
Pegawai dalam pentadbiran Trump telah menjelaskan bahawa mereka melihat penyitaan kapal tangki tersebut sebagai cara untuk menjana wang tunai ketika mereka berusaha membina semula industri minyak Venezuela yang terjejas dan memulihkan ekonominya.
Trump juga telah cuba menyekat aliran minyak ke Cuba, yang menghadapi sekatan ekonomi yang ketat oleh AS dan sangat bergantung pada penghantaran minyak dari sekutu seperti Mexico, Rusia dan Venezuela.
Sejak operasi Venezuela, Trump mengatakan bahawa tidak ada lagi minyak Venezuela yang boleh dihantar ke Cuba dan kerajaan Cuba bersedia untuk jatuh.
Trump juga baru-baru ini menandatangani perintah eksekutif yang akan mengenakan tarif ke atas sebarang barangan dari negara yang menjual atau membekalkan minyak kepada Cuba, terutamanya memberi tekanan kepada Mexico kerana ia telah bertindak sebagai talian hayat bekalan minyak untuk Cuba. – HARAKAHDAILY 10/2/2026











