
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengumumkan meraih kemenangan dalam pilihan raya parlimen negara itu selepas keputusan awal yang disiarkan televisyen menunjukkan parti pimpinannya, Bhumjaithai, memenangi hampir 200 kerusi.
Pilihan raya tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Parti Rakyat yang reformis, Bhumjaithai yang konservatif dan Pheu Thai, parti yang disokong keluarga Shinawatra yang berpengaruh.
“Kami berkemungkinan memperoleh tempat pertama dalam pilihan raya ini. Kemenangan ini milik seluruh rakyat Thailand, tanpa mengira siapa yang mereka undi,” kata Anutin kepada pemberita di ibu pejabat partinya di Bangkok.
Sementara itu, Parti Rakyat mengakui kekalahan walaupun mengekalkan kedudukan kedua dengan 116 kerusi.
Pemimpinnya, Natthaphong Ruengpanyawut, berkata parti itu menghormati prinsip demokrasi dan hak parti yang menang untuk membentuk kerajaan.
Penganalisis politik sebelum ini meramalkan keputusan yang sengit tanpa pemenang mutlak, sekali gus menjangkakan rundingan gabungan yang rumit selepas pilihan raya.
Pilihan raya berlangsung ketika Thailand berdepan kelembapan ekonomi dan tekanan dalam sektor pelancongan, selain ketegangan yang semakin meningkat dengan Kemboja yang mengakibatkan pertempuran maut di sepanjang sempadan.
Negara itu juga telah melahirkan tiga perdana menteri dalam tempoh kurang tiga tahun sejak pilihan raya umum 2023, mencerminkan ketidakstabilan politik berpanjangan.
Sejak 1932, Thailand mencatatkan 13 rampasan kuasa tentera yang berjaya.
Parti Rakyat merupakan pengganti kepada Move Forward, yang memenangi pilihan raya 2023 tetapi kemudian dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan kerana agenda reformisnya dianggap mengancam monarki.
Selain pilihan raya, rakyat Thailand turut mengundi dalam referendum perlembagaan bagi menentukan sama ada piagam 2017 yang disokong tentera perlu diganti.
Keputusan majoriti yang menyatakan sokongan akan memberi mandat kepada Parlimen untuk memulakan proses penggubalan perlembagaan baharu melalui beberapa peringkat.











