
KUANTAN: PAS Pahang mencatatkan peningkatan sokongan yang konsisten sejak Pilihan Raya Umum PRU ke-10 (PRU10) hingga PRU15) sekali gus memberi keyakinan kepada parti itu untuk menyasarkan misi menerajui pentadbiran negeri pada PRU16.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, perjalanan politik PAS di negeri ini memperlihatkan fasa jatuh bangun yang menjadi asas kepada pengukuhan parti secara berperingkat.
Menurut beliau, PAS Pahang pernah mencatat pencapaian memberangsangkan pada PRU10 pada 1999 dengan memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum mengalami kemerosotan ketara pada PRU11 pada 2004 apabila gagal mempertahankan sebarang kerusi.
“Sejarah ini bukan sekadar deretan angka, tetapi cerminan ketahanan, kesabaran dan keupayaan PAS membina kekuatan politik yang berakar umbi di bumi Pahang.
“Fasa ini juga merupakan ujian paling getir, namun PAS memilih jalan muhasabah, pembaikan dan pengukuhan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebangkitan semula PAS Pahang bermula pada PRU12 pada 2008 dengan kemenangan dua kerusi DUN, diikuti peningkatan kepada tiga kerusi pada PRU13 pada 2013.
“Walaupun angka ini kelihatan kecil, ia menandakan kebangkitan semula keyakinan rakyat terhadap PAS Pahang serta keberkesanan strategi tarbiah, kebajikan dan gerak kerja akar umbi yang konsisten,” ujarnya.
Tambah Ahmad Azlan, lonjakan lebih ketara dicatatkan pada PRU14 pada 2018 apabila PAS Pahang memenangi lapan kerusi DUN, sebelum mencapai keputusan terbaik dalam sejarah parti di negeri itu pada PRU15 pada 2022 dengan 15 kerusi DUN.
“Keputusan ini membuktikan bahawa PAS bukan lagi sekadar pembangkang pinggiran, sebaliknya telah muncul sebagai kuasa penentu politik negeri Pahang.
“Trend peningkatan yang konsisten ini memberi keyakinan tinggi kepada PAS Pahang bahawa sokongan rakyat semakin matang, berprinsip dan berpaksikan kepercayaan terhadap kepimpinan yang bersih, stabil serta berintegriti.
“Kejayaan ini juga didorong oleh gelombang kebangkitan rakyat bersama Perikatan Nasional yang menolak politik lama dan menuntut pentadbiran negeri yang lebih adil serta telus. Dengan asas kekuatan ini, PAS Pahang memasuki PRU 16 dengan keyakinan yang kukuh untuk merealisasikan Misi Teraju Pahang,” tegasnya.
Mengulas persiapan menghadapi PRU16, beliau berkata, PAS Pahang kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik dari segi jentera, kepimpinan dan strategi.
Beliau menyatakan, PAS bukan sahaja bersedia dari segi jentera, kepimpinan dan strategi, malah membawa tawaran pentadbiran yang berteraskan kebajikan rakyat, pembangunan seimbang dan kestabilan politik negeri.
“Insya-Allah, dengan izin Allah SWT dan sokongan rakyat Pahang, PAS bersama Perikatan Nasional Pahang yakin mampu melangkah lebih jauh untuk menerajui negeri ini ke arah masa depan yang lebih sejahtera, berintegriti dan diberkati.
“Dari jatuh bangun, kini PAS bangkit sebagai kuasa yang akan menerajui Pahang bersama dengan Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2026











