Isu Epstein: Bimbang PM diperas ugut ‘perangkap madu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa memberikan penjelasan tuntas di Dewan Rakyat berhubung namanya dikaitkan dalam rantaian e-mel melibatkan sekutu kepada pesalah jenayah seksual terkenal, Jeffrey Epstein.

Ahli Parlimen Machang berkata, pembangkang membangkitkan isu tersebut kerana bimbang akan keselamatan dan kedaulatan negara sekiranya pemimpin nombor satu negara terdedah kepada risiko peras ugut (blackmail) oleh pihak asing yang mempunyai agenda tertentu.

- Advertisement -

Menurut Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, penelitian terhadap arkib yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menemukan komunikasi antara Jes Staley, bekas pegawai tinggi JP Morgan, dengan Epstein yang menyebut nama Anwar Ibrahim.

“E-mel tersebut dihantar kepada Epstein oleh Jes Staley bertanya, ‘Should we arrange a private meeting for jazz with Anwar Ibrahim? If he becomes prime minister of Malaysiait could be a gold mine for JPM (JP Morgan).’

“Kita bimbang akan Perdana Menteri sebab beliau berada dalam jaringan orang-orang yang terjerat dengan ‘perangkap madu’ (honey pot) Epstein ini, walaupun setakat ini tiada bukti mengaitkan beliau dengan salah laku moral,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan pembangkang terhadap hubungan antarabangsa Perdana Menteri yang dilihat lunak dengan syarikat pro-Zionis seperti BlackRock.

Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata, latar belakang Epstein yang didedahkan oleh bekas perisik Israel, Ari Ben-Menashe, menunjukkan bahawa Epstein adalah operator Mossad yang menggunakan taktik perangkap seksual untuk mengawal pemimpin dunia.

“Epstein dikaitkan dengan Ghislaine Maxwell, anak kepada Robert Maxwell yang merupakan ‘mata-mata’ hebat Mossad. Jaringan ini melibatkan kelab eksklusif bilionair Yahudi yang mendanai agenda pro-Israel.

“Ramai pemimpin dunia dan ahli politik di Eropah dan Amerika Syarikat kini ‘terbakar’ dan tidak boleh berselindung lagi kerana terkait dengan Epstein. Namun, pemimpin seperti Erdogan (Turki), Imran Khan (Pakistan), Vladimir Putin (Rusia) dan Xi Jinping (China) tidak termasuk dalam perangkap ini,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa pembangkang ikhlas mahu membantu menyelamatkan Perdana Menteri daripada menjadi mangsa percaturan kuasa asing, sepertimana yang pernah berlaku dalam kes 1MDB.

“Kita bimbang kesilapan berulang seperti yang berlaku kepada Dato’ Sri Najib Razak yang mendengar cakap Jho Low. Kita tak nak Dato’ Seri Anwar Ibrahim ada ‘Jho Low’ yang kita tak nampak sekarang ini disebabkan kaitan dengan Epstein.

“Sebab itu rakyat tanya kami, minta YB bawa ke Parlimen. Kenapa PM lunak dengan BlackRock? Kenapa lunak dengan perjanjian Amerika? Kami bimbang nama beliau dikaitkan, dan ia boleh menggugat keselamatan negara,” katanya lagi.

Wan Fayhsal turut menempelak maklum balas Perdana Menteri sebelum ini yang disifatkan tidak serius dalam menjawab isu tersebut di media sosial.

“PM tak boleh jawab macam budak-budak dalam media sosial, buat lawak ‘saya di Zoo Johor’. You must testify in Parliament. Buka ruang untuk debat. Apakah hubungan sebenar dengan Jes Staley dan Epstein?

“Kita mahu pastikan tiada pemimpin kita yang diugut (blackmail). Semoga Allah melindungi Malaysia daripada bala bencana dan kerosakan moral akhir zaman ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2026

- Advertisement -