
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendesak agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan segera bagi membahaskan isu persempadanan Malaysia-Indonesia secara telus dan tuntas.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langkah ini perlu bagi membolehkan rakyat menilai fakta yang sebenar terhadap isu tersebut.
Tegas beliau, ia memandangkan sesi penerangan satu hala oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam disifatkan sebagai tidak mencukupi dan menimbulkan lebih banyak persoalan.
Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan status sebenar kawasan seluas 5,000 hektar yang telah dilepaskan ketika bercakap pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.
“Kami nak bertanya semula kepada Yang Amat Berhormat Tambun (Perdana Menteri), apa yang beliau maksudkan dengan istilah 5,000 hektar yang dilepas, yang katanya bukan milik Malaysia tapi sudah jadi milik Indonesia, namun diberi anggapan seolah-olah ianya no man’s land?
“Ini perkara yang tidak jelas yang sebenarnya kami tuntut daripada Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Penerangan satu hala tidak mencukupi, sepatutnya ada perbahasan yang melibatkan kedua-dua belah pihak,” tegasnya.
Wan Ahmad Fayshal turut mendedahkan kekecewaan blok pembangkang apabila kebenaran untuk membahaskan isu tersebut ditarik balik pada saat akhir.
Menurutnya, pada awalnya Yang di-Pertua Dewan Rakyat membenarkan seorang pembahas dari kedua-dua belah pihak, namun kebenaran itu ditarik balik selang sejam kemudian.
Susulan itu, beliau selaku Ahli Parlimen Machang telah membawa usul tersebut untuk membincangkan jajaran sempadan ini disegerakan.
“Kita perlu ada ketelusan. Sebarang isu melibatkan persempadanan semula wilayah negara haruslah sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 1 dan Artikel 2.
“Mana-mana sempadan negara yang hendak diubah perlu mendapat kelulusan persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) wilayah yang terjejas, dalam hal ini Sabah, serta mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja,” jelasnya.
Beliau turut memetik kenyataan Ahli Parlimen Semporna di Dewan Rakyat yang membangkitkan bahawa tiada sebarang enakmen diluluskan di DUN Sabah berhubung persempadanan semula tersebut.
Beliau turut mengkritik kerajaan yang dilihat gagal memberikan maklumat terperinci kepada Ahli Parlimen.
“Kami tak dapat sebarang dokumen atas meja. Tiada sebarang maklumat kecuali yang terpampang dalam Dewan Rakyat, peta yang hendak tengok pun susah. Sudahlah peta tersebut dari segi ‘legend’ tidak jelas. Jadi macam mana kita hendak beri ketelusan kepada rakyat?” soalnya.
Tegasnya, PN tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ seperti mana rundingan perjanjian terdahulu yang didakwa merugikan negara.
“Sebab itu kami mendesak Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sila bawa semula sidang khas berhubung dengan sempadan negara ini. Kerana apa? Kerana kita khuatir masalah kerugian itu sebenarnya memang berlaku,” katanya lagi – HARAKAHDAILY 5/2/2026











