
KUALA LUMPUR: Himpunan yang bertujuan menjunjung penguatkuasaan undang-undang sedia ada tidak seharusnya ditakuti atau dihalang oleh mana-mana pihak.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tiada keperluan untuk mana-mana pihak berasa takut terhadap penganjuran himpunan sedemikian.
“Ia berbeza dengan himpunan menuntut hak yang dilarang di dalam Perlembagaan. Contohnya Himpunan Pro LGBT,” tegasnya dalam media sosial miliknya hari ini.
Terdahulu media tempatan melaporkan gabungan 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merancang mengadakan perhimpunan aman di Kuala Lumpur pada Sabtu ini di kawasan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo.
Difahamkan, himpunan tersebut bagi mendesak penguatkuasaan undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth berkata, perhimpunan itu bertujuan membantah amalan pemberian pampasan dan tanah ganti kepada pihak yang menceroboh, selain menegaskan mereka sepatutnya didakwa.
Polis Daerah Dang Wangi mengesahkan menerima notis penganjuran perhimpunan berkenaan, yang menurut Zamri tidak ada kaitan dengan lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi. – HARAKAHDAILY 5/2/2026











